BeritaProgram

MPKK Pasoh muncul Johan Kejohanan Piala MB DUN Pertang

PERTANG: MPKK Pasoh dan MPKK Pertang SP (A) akan mewakili DUN Pertang ke Kejohanan Piala YAB Menteri Besar Peringkat Parlimen.

MPKK Pasoh membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, Piala Penyelaras DUN Pertang dan pingat untuk setiap pemain.

Naib Johan, MPKK Pertang SP (A) memenangi hadiah RM800 dan pingat; tempat ketiga, MPKK Kampung Melayu Tambahtin (RM500 dan pingat) dan tempat keempat, MPKK Pertang SP (B) (RM300 dan pingat).

Mohd Hazim Mohamad muncul sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol dan turut terpilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

Zainal sumbang jersi, bola dan boot

Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abd Kadir berkata, beliau turut menyumbang jersi, bola dan kasut bola (boot) kepada pasukan bertanding yang memerlukan.

“Saya bangga melihat semangat kesukanan, disiplin dan sikap matang yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang kejohanan berlangsung.

“Ini secara tidak langsung dapat memupuk sifat murni dan kerjasama yang kuat tanpa mengira kalah atau menang.

“Tahniah kepada pasukan yang berjaya layak ke peringkat parlimen. Sesungguhnya masyarakat setempat meletakkan harapan tinggi agar pasukan DUN Pertang akan layak ke peringkat negeri nanti,” kata Zainal Fikri.

Impian lahirkan pemain bolasepak wakili Negeri Sembilan

Zainal Fikri juga menyatakan hasratnya mahu melihat pemain dari DUN Pertang meletakkan sasaran tinggi dan berusaha untuk mewakili pasukan bolasepak Negeri Sembilan.

“Saya berharap kejohanan ini melahirkan pemain yang berpotensi untuk mewakili skuad Negeri Sembilan.

“Besarlah harapan saya juga untuk melihat satu hari nanti ada pemain dari DUN Pertang mewakili skuad negara di Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Justeru, para pemain harus sentiasa memfokuskan usaha terhadap matlamat kejayaan yang telah disasarkan dan saya percaya sekiranya kita sentiasa fokus kepada kejayaan, berfikir secara positif, mempunyai keyakinan yang tinggi dan tidak bersikap sambil lewa, kejayaan akan menjadi milik kita,” ujar Zainal Fikri lagi.

Lebih banyak kejohanan sukan di DUN Pertang

Menurut Zainal Fikri, beliau akan menganjurkan lebih banyak aktiviti kesukanan selepas ini dan bercadang untuk menaiktaraf padang sukan sedia ada di DUN Pertang untuk jenis sukan yang lain juga.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) di atas penganjuran kejohanan ini.

Sebanyak lima pasukan bertanding dalam pertandingan yang diadakan secara liga.

Kejohanan berlangsung selama dua hari di Padang Awam Simpang Pertang.

Show More

Related Articles

Back to top button