Berita

‘MyBest Buy Aidilfitri DUN Klawang’ tawar harga daging lebih murah dari pasaran

KLAWANG: Fama Negeri Sembilan dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Klawang telah menganjurkan program bazar MyBest Buy Aidilfitri di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat DUN Klawang.

ADUN Klawang, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir berkata, pelbagai jenis makanan dijual termasuk barangan basah seperti ayam dan daging lembu. Daging lembu yang ditawarkan lebih murah berbanding harga asal menjadi rebutan pengunjung yang hadir pada program ini.

Orang ramai mula beratur dari jam 7.30 pagi biarpun gerai jualan mula dibuka pada jam 8 pagi.

“Sebanyak 300 kilogram daging daripada dua ekor lembu yang disediakan berjaya dijual dalam tempoh dua jam.

“Harga yang rendah menyebabkan orang ramai tidak lepas peluang membeli daging lembu berkenaan.

“Daging batang pinang dijual pada harga RM34 sekilogram berbanding harga asal RM38 atau RM40 sekilogram,” kata Bakri.

Bakri berkata, selain itu orang ramai turut berpeluang membeli ayam yang dijual pada harga RM7.90 sekilogram, ayam telur RM9.50 sekilogram dan ayam kampung RM20 seekor.

“Turut dijual pelbagai makanan kering serta aneka kuih raya menerusi gerai jualan daripada 11 usahawan sekitar Kuala Klawang,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Bakri yang juga Exco Pertanian dan Industri Makanan berkata, program diadakan bagi membolehkan orang ramai membuat persiapan hari raya dengan membeli pada harga yang lebih murah berbanding di pasaran.

Katanya, hasil jualan sebanyak RM15,700 dikutip dari usahawan terbabit dan program ini dikunjungi lebih 300 penduduk sekitar Kuala Klawang.

Peniaga daging Junaedi Herman, 23, berkata, dia tidak menyangka dua ekor lembu yang dibawa bagi program berkenaan habis dalam tempoh dua jam.

“Larangan rentas daerah antara faktor dipercayai jualan daging di gerainya terjual dengan cepat selain harga yang ditawarkan lebih murah berbanding pasaran biasa,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button