Berita

Nasib Fakhrulzaman dan Rohayati dapat perhatian Pejabat MB

Prihatin dan belas kasihan merentas bangsa dan agama

SEREMBAN: Setibanya Pegawai Agama Kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Ustaz Jaafar Muhammad dan Negeri Kita di rumah sewa Puan Linda Loganathan, 39, di Taman Sungai Ujong, Rasah; Linda memanggil “ayah….ayah….”

Kami tercegat dan tertanya kenapa wanita berbangsa India ini memanggil bapanya dengan panggilan Melayu, bukan panggilan lazim ‘Appa’ (Bapa di dalam bahasa Tamil).

Tidak lama itu keluar seorang lelaki Melayu bersongkok, berbaju Melayu dan bersarong kain. Rupa-rupanya ‘ayah’ yang dibahasakan oleh Linda adalah Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57.

Mohamad Fakhrulzaman dan isterinya Rohayati Salleh, 46; adalah orang yang kami cari untuk dibantu.

Kami tersentuh dan terharu dengan penjelasan Linda.

“Janganlah ambil (pisahkan) ayah dan ibu dari saya.

“Ada netizen pertikai saya, suami dan emak kandung saya Hindu tetapi menjaga ‘Ayah’ dan ‘Ibu’ yang beragama Islam.

“Kalau bapa dan ibu kandung saya memeluk Islam, tak kan saya nak buang ibubapa saya? Mereka tetap ibubapa saya, itu luahan hati Linda.

Bagaimana Fakhrulzaman dan Rohayati mendapat perlindungan dari Linda sekeluarga?

Mohamad Fakhrulzaman dan isterinya mempunyai lima orang anak yang masih belajar.

Anak sulung Norhasiha menuntut di Universiti Utara Malaysia, Kedah.

Anak kembarnya (kedua dan ketiga) Umi Maisara di UiTM Shah Alam dan Umi Hasanah di UiTM Segamat.

Manakala anak keempat Norsyuhada di Kolej Matrikulasi Kuantan. Dua anaknya lagi masih bersekolah.

Beliau merupakan bekas guru besar kontrak selama 12 tahun di sebuah kampung Orang Asal di Pahang. Kerjaya terakhir sebagai Pengurus Restoren (makanan barat) di Taipan Senawang.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengubah nasib hidupnya. Majikannya menutup restoren tersebut sekitar bulan Mac tahun ini.

“Saya hilang punca pendapatan dan tertekan apabila tiada sumber kewangan. Apatah lagi perlu menanggung anak-anak yang masih belajar.

“Tekanan perasaan ini mengakibatkan saya kena strok. Untuk ‘survival’ saya terpaksa jual harta benda saya termasuk peralatan elektrik dan perabot.

“Masa jual perabot ini lah saya terjumpa dengan Puan Linda,” kata Mohamad Fakhrulzaman.

Mohamad Fakhrulzaman dan Rohayati kini sudah enam bulan tinggal bersama keluarga Linda.

Kereta Linda rosak ditenggelami banjir, motosikal Fakhrulzaman kena curi ketika solat

Linda pula yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual perabot terpakai, berkata beliau tidak sanggup tinggalkan Mohamad Fakhrulzaman dan Rohayati dalam kesempitan hidup.

“Selepas membeli perabot berkenaan, saya mengajak ‘Ayah’ dan ‘Ibu’ tinggal bersama keluarga saya.

“Suami, anak-anak dan ibu kandung saya selesa dan mesra dengan ‘Ayah’ dan ‘Ibu’

“Saya sediakan bilik khas untuk ‘Ayah’ dan ‘Ibu’ untuk bersolat.

“Cuma kejadian banjir pada minggu lepas telah merosakkan banyak peralatan di rumah termasuk perabot yang hendak dijual.

“Kereta yang saya gunakan untuk menghantar (menjual) dan membeli perabot juga telah rosak akibat ditenggelami banjir pada 4 November lepas,” jelas Linda yang mempunyai dua orang anak.

Menurut Linda beliau memerlukan kos sebanyak RM3,000 untuk membaiki kereta yang rosak akibat ditenggelami air banjir.

Manakala motosikal kepunyaan Mohamad Fakhrulzaman pula hilang ketika beliau pergi sembahyang di masjid berdekatan.

Pejabat Menteri Besar akan menilai bentuk bantuan dan keperluan

Ustaz Jaafar berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun dan agensi berkaitan seperti Baitulmal untuk melihat apa jenis bantuan yang boleh dihulurkan.

“Hari ini saya telah serahkan bantuan awalan berbentuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan dapur untuk meringankan beban keluarga ini.

“Saya juga terharu melihat akraban yang terjalin di antara dua keluarga berbeza bangsa dan agama walaupun baru enam bulan tinggal bersama,” kata Ustaz Jaafar.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button