BeritaKolumnisMenarik

Jalaluddin minta Arab Saudi tingkatkan import minyak sawit

Saya antara salah seorang wakil delegasi Malaysia yang hadir ke Mesyuarat Dua Hala antara Malaysia & Arab Saudi di Bangunan Parlimen, sempena Lawatan Rasmi Saudi-Malaysian Parliamentary Friendship Group, hari ini.

Delegasi Arab Saudi diketuai oleh Dr.Hussein bin Nasser Al Sharif (Ahli Majlis Shura Arab Saudi) dan tujuh ahli rombongan lain.

Mewakili rakyat dan keparlimenan Malaysia, saya menyentuh tiga isu terkait dengan hubungan diplomasi antara negara kita dengan Arab Saudi.

Isu pertama berkaitan ekonomi. Arab Saudi merupakan rakan ekonomi dan perdagangan penting untuk kita.

Terbukti apabila Arab Saudi telah menjadi rakan dagangan terbesar antara negara Asia Barat pada 2023, jumlah perdagangan dua hala meningkat 11.5% kepada RM50.52 bilion (USD11.06 bilion) daripada RM45.32 bilion (USD10.21 bilion) semasa 2022.

Antara barangan eksport utama dari Malaysia ke Arab Saudi ialah minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Justeru itu, mewakili petani kelapa sawit di Malaysia, saya berharap agar pihak Kerajaan Arab Saudi boleh mengekalkan nilai import minyak sawit dan meningkatkan import dari semasa ke semasa.

Isu kedua mengenai pengurusan jemaah haji di Arab Saudi. Bagi musim haji 1445H (2024), Kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Jemaah Haji Malaysia, di masa yang sama, Malaysia telah meminta kuota tambahan sebanyak 10,000 slot dan pengembalian semula 750 slot untuk Petugas Haji.

Walaupun begitu, setiap tahun, masih ramai umat Islam Malaysia tidak dapat menunaikan haji kerana kuota yang diberikan tidak mencukupi, sebab itu saya sangat berharap kuota tambahan boleh diberikan kepada rakyat Malaysia pada musim haji tahun ini.

Isu ketiga, mengenai kedudukan rakyat dan penguasa di Malaysia mengenai konflik Palestin-Israel. Sebagai sebuah Negara Islam, Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pandangan yang sama mengenai isu ini.

Malaysia menuntut Israel untuk segera melakukan gencatan senjata dan mematuhi undang-undang antarabangsa. kita tak boleh terima tindakan Israel membunuh kanak-kanak dan orang awam selain memusnahkan kemudahan termasuk hospital.

Malaysia mengesahkan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin, termasuk penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli penuh PBB.

Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan semua negara untuk mempromosikan penyelesaian yang adil, berkekalan dan aman kepada perjuangan Palestin mengenai resolusi PBB yang berkaitan, undang-undang antarabangsa dan dua hala perjanjian.

Sebagai penutup tadi, saya zahirkan harapan agar hubungan dua hala antara negara ini terus kekal zaman berzaman dan memberi keuntungan maksima kepada rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah.

Datuk Seri Jalaluddin Alias

Ahli Parlimen Jelebu

Show More

Related Articles

Back to top button