Berita

Negeri Kita capai lebih 50 ribu pembaca

Lebih 50,540 pembaca mengikuti Negeri Kita dalam tempoh kurang lima bulan

SEREMBAN: Portal https://negerikita.org telah mencapai lebih 50 ribu jumlah pembaca unik (pembaca berbeza) sejak empat bulan 10 hari beroperasi.

Sehingga 10 Oktober, lebih 50,540 pembaca unik telah melayari portal Negeri Kita.

Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan pembaca, Pasukan Media Menteri Besar, Wakil Rakyat dan Penyelaras DUN serta pengurusan portal Negeri Kita dan akhbar Nogori Kito.

Meletakkan sasaran 10 ribu pembaca sebulan agak ambitious tetapi Negeri Kita optimis ianya boleh dicapai dalam tempoh tertentu dengan usaha dan promosi.

Negeri Kita mula beroperasi pada 1 Jun 2020 dan pada 10 Ogos lepas; iaitu selepas dua bulan 10 hari, seramai 10,840 orang telah melawati portal ini. Angka yang jauh dari sasaran sebenar.

Sehari sebelum hari pelancaran portal Negeri Kita pada 8 September; seramai 28,955 orang telah membaca portal ini. Satu angka yang menghampiri sasaran awal.

Selepas majlis pelancaran pada 9 September, jumlah pembaca semakin hari semakin meningkat apabila berita Negeri Kita dikongsi secara meluas di media sosial.

Jumlah pembaca direkodkan melalui IP address

Negeri Kita menggunakan sistem Internet Protocol Address (IP address) untuk merekodkan jumlah pembaca.

Namun harus diingat, jumlah pembaca sebenar adalah lebih ramai dari angka yang direkodkan.

Ini ialah kerana teknologi internet yang ada sekarang hanya mampu merekodkan bilangan individu yang melawati sesebuah portal atau laman web berdasarkan IP address pengguna.

Setiap akaun internet di kediaman, pejabat atau telefon menggunakan IP address yang unik.

Contoh paling klasik, katakan di dalam sebuah pejabat ada 100 kakitangan. Talian internet di pejabat tersebut menggunakan satu IP address.

Daripada 100 kakitangan pejabat tersebut, katakan 30 kakitangan melayari portal Negeri Kita dari komputer masing-masing. Jumlah pembaca yang akan direkodkan hanyalah seorang.

Setakat ini belum ada teknologi untuk merekodkan jumlah pembaca berdasarkan device atau alat seperti unit komputer atau telefon bimbit secara berasingan tetapi menggunakan talian internet yang sama.

Adalah diharapkan lebih ramai mengikuti Negeri Kita dan pembaca sedia ada membantu memperkenalkan portal ini kepada ahli keluarga, kenalan dan masyarakat sekitar.

Negeri Kita sarat dengan pelbagai informasi inisiatif dan insentif Kerajaan Negeri, berita dan aktiviti terkini melibatkan pemimpin dan rakyat Negeri Sembilan.

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button