Berita

Negeri Sembilan benar 150 jemaah di masjid

SEREMBAN: Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan beroperasi dengan kehadiran tidak lebih 150 orang bermula hari ini.

“Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; bermula 27 Ogos (hari ini), masjid dan surau Jumaat dibenarkan beroperasi untuk masyarakat awam dan terhad kepada 150 orang jemaah yang terawal.

“Ini termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid serta petugas keselamatan/sukarelawan yang telah melepasi tempoh 14 hari setelah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Manakala surau turut dibenarkan beroperasi untuk masyarakat awam terhad kepada 30 orang jemaah terawal dengan syarat yang sama,” kata Aminuddin.

Aminuddin membuat pengumuman ini dalam Majlis Bacaan Yasin dan Doa Hari Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya malam tadi.

Patuhi SOP yang ditetapkan

Aminuddin juga mengingatkan para jemaah agar sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna, membawa sejadah peribadi bersaiz besar, menjaga penjarakan fizikal dan berwuduk terlebih dahulu dari rumah masing-masing.

“SOP lengkap boleh dirujuk melalui saluran rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Saya memohon kepada seluruh jemaah yang hadir ke masjid dan surau agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Manakala jawatankuasa masjid dan surau hendaklah melaksanakan tanggungjawab pematuhan SOP aktiviti masjid dan surau yang telah digariskan,” jelas beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button