BeritaProgram

Negeri Sembilan benar rakyat ‘walk-in’ vaksin bermula 20 hingga 25 September ini

Bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang di 10 pusat pemberian vaksin dan sebuah klinik kesihatan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan sebanyak 19,000 dos suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk in’ bagi individu yang belum mendapatkan vaksin bermula 20 hingga 25 September ini; di 10 pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan sebuah klinik kesihatan yang terpilih di setiap daerah di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini satu usaha bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini yang berumur lebih 18 tahun menerima suntikan vaksin dan seterusnya memastikan kadar jangkitan Covid-19 di negeri ini terus melandai.

“Pemberian vaksin secara terus ini hanya untuk warganegara Malaysia di Negeri Sembilan yang berumur 18 tahun ke atas dan tidak melibatkan rakyat dari negeri lain atau bukan warganegara.

“Selain itu, ia untuk mereka yang telah mendaftar MySejahtera tetapi belum mendapat tarikh temu janji atau mereka yang tidak mendaftar lagi dengan MySejahtera,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Aminuddin berkata, bagi rakyat yang telah menerima temu janji melalui MySejahtera tidak dibenarkan ‘walk-in’ dan perlu mematuhi tarikh temu janji yang diberikan oleh MySejahtera.

Sehubungan itu, orang ramai di negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin boleh hadir secara terus di mana-mana PPV dan klinik kesihatan yang disenaraikan seperti berikut bermula jam 9 pagi hingga 3 petang:

1. Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Seremban.

2. Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban.

3. Dewan Kompleks Belia dan Sukan Teluk Kemang, Port Dickson.

4. Dewan D’Sury, Jelebu.

5. Dewan Pejabat Daerah Jempol, Jempol.

6. Dewan Majlis Perbandaran Jempol, Bahau.

7. Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6, Jempol.

8. Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah.

9. Klinik Kesihatan Rembau.

10. Dewan Perdana Tampin.

11. Dewan Besar Gemas.

Siapa dahulu, dia dapat (first come, first served)

Menurut Aminuddin, kaedah pelaksanaan pemberian suntikan secara walk-in ini adalah ‘siapa dahulu, dia dapat’ (first come, first served) dan pemberian vaksin ini bergantung kepada bekalan vaksin harian di semua PPV yang terlibat.

“Orang ramai yang hadir secara ‘walk-in’ tetapi tidak mendapat suntikan pada hari berkenaan kerana kehabisan vaksin akan diberi temu janji pada hari berikutnya.

“Walaubagaimanapun, mereka yang bergejala, kontak rapat dan dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan hadir ‘walk-in’ ke PPV,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan telah berjaya mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus rakyat berumur lebih 18 tahun menerima vaksin lengkap pada 2 September lepas.

“Sejak Isnin lalu Negeri Sembilan telah berjaya mencapai seratus peratus rakyat berumur lebih 18 tahun menerima vaksin dos satu dan sebanyak 88.9 peratus orang telah menerima suntikan lengkap vaksin dos kedua,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button