Berita

Negeri Sembilan benar solat Jumaat ikut kapasiti masjid dan surau

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat mengikut kapasiti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mulai Jumaat ini (24 September).

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, syarat utama kehadiran ke masjid adalah melepasi tempoh 14 hari setelah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Para jemaah diingatkan agar sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna, membawa sejadah peribadi bersaiz besar, menjaga penjarakan fizikal dan berwuduk terlebih dahulu dari rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, SOP lengkap boleh dirujuk melalui saluran rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin berkata, jawatankuasa masjid dan surau hendaklah melaksanakan tanggungjawab pematuhan SOP aktiviti masjid dan surau yang telah digariskan.

Kerajaan Negeri juga membenarkan kelas takmir atau pengajian agama dijalankan seperti biasa di masjid dan surau mulai tarikh yang sama.

“Bagaimanapun ia hanya dihadkan bagi tempoh satu jam antara waktu solat Maghrib dan Isyak serta sebelum solat Jumaat dan selepas solat Subuh.

“Kebenaran kuliah agama atau pengajian itu bagaimanapun hanya membabitkan guru takmir atau penceramah dari Negeri Sembilan dan bukannya individu daripada luar negeri ini.

“Ahli jawatankuasa masjid dan surau juga diminta memastikan tingkap dibuka dan kipas digunakan bagi memberi ruang pertukaran udara dalam masjid dan surau,” katanya.

Jelasnya lagi, sebarang bentuk penyediaan makanan hanya dibenarkan secara bungkusan dan setiap jemaah perlu segera beredar sebaik makanan diambil.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button