Negeri Sembilan kecualikan fi cetakan semula geran dan sijil nikah
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju mengecualikan fi bayaran cetakan semula geran serta sijil nikah individu yang terjejas banjir baru-baru ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bagi cetakan semula geran, bayaran fi RM130 dikecualikan termasuk fi carian rasmi, fi pendaftaran surat akuan, fi pendaftaran hak milik hilang dan fi notis.
“Bayaran yang tidak dapat dikecualikan adalah bayaran kepada Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran fi warta RM60 serta fi ukur/penyediaan pelan RM10.
“Walaupun begitu, Kerajaan Negeri sedang memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar bayaran fi tersebut dapat dikecualikan.
“Bagi pengecualian fi ini, pihak pemohon haruslah mengemukakan surat pengesahan daripada Pegawai Daerah tempat kejadian banjir selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah,” kata beliau.
Aminuddin berkata, bagi sijil nikah dan kad kahwin pula, tawaran ini terbuka kepada pasangan yang mendaftarkan perkahwinan, penceraian dan rujuk di Negeri Sembilan sahaja.
“Permohonan boleh dilakukan di Pejabat Agama Daerah tempat pemohon bermastautin dengan mengisi borang yang disediakan.
“Semoga pengecualian ini meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terjejas akibat bencana banjir tersebut,” kata Aminuddin.