Berita

Negeri Sembilan negeri pertama lulus tukar status tanah kediaman

Meluluskan penukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal

SEREMBAN: Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di dalam Malaysia yang membuka permohonan penukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan empat permohonan penukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal.

“Buat masa ini permohonan ini dibuka bagi dua taman perumahan iaitu dari Taman Marida di Senawang dan Gedong Lalang 162 di Ampangan.

“Permohonan penukaran status tanah masih dibuka bagi kedua-dua taman tersebut. Individu yang ingin menukar status tanah boleh menyemak kelayakan serta mengambil borang di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban,” ujar beliau.

Aminuddin menjelaskan, buat masa ini Kerajaan Negeri hanya membuka permohonan bagi dua taman perumahan ini sebagai projek rintis bagi melengkapkan SOP (Prosedur Operasi Standard).

“Insya Allah pihak Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi permohonan sesudah SOP tersebut dimuktamadkan.

“Ini adalah selaras dengan manifesto yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang lalu.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pemilik kediaman di taman-taman tersebut untuk mengambil peluang ini,” kata Aminuddin lagi.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button