Berita

‘Nemo Port Dickson’ kembali ke habitat asal

PORT DICKSON: Sebanyak 20 ekor ikan inggu (clownfish) atau lebih popular dikenali sebagai Nemo telah dilepaskan ke habitat asalnya, laut.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, YB Dato’ Bakri Sawir berkata, 20 ekor Nemo ini hasil kejayaan pembiakan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIH PD).

20 ekor Nemo ini telah dilepaskan kembali ke habitat asal (laut) sempena Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin Port Dickson anjuran DOF Negeri Sembilan.

Nemo (ikan inggu) merupakan spesies ikan hiasan marin yang digemari ramai berikutan warna dan bentuk fizikalnya yang menarik.

Amphiprion Ocellaris dan Amphiprion Frenatus adalah spesies inggu asli yang terdapat di perairan Negeri Sembilan, khususnya di Kawasan Larangan Perikanan Tanjung Tuan.

“Spesies ini telah dibiakkan dengan jayanya di PIH PD. Ia diberi pelbagai nutrisi daripada mikroalga, artemia, pelet dan isi udang.

“Ikan yang diberi jolokan ‘Nemo’ ini sebenarnya mudah menjadi buruan pemangsa, lantaran warna badannya yang terang.

“Justeru, ia memerlukan perumah iaitu buran (sea anemone) sebagai tempat berlindung,” jelas Bakri.

Menurut Bakri, semasa aktiviti melepaskan ikan inggu berusia setahun ini, penyelam telah menyelam dan melepaskannya ke lokasi yang terdapat buran agar ia selamat di situ.

Bakri juga melepaskan 10 ekor penyu juvenil dan 10,000 benih ketam renjung di pantai Tanjung Biru. Program ini turut melibatkan aktiviti pembersihan terumbu karang di Tanjung Tuan.

“Aktiviti ini membabitkan 46 penyelam sukarelawan dan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Teluk Kemang yang membersihkan sampah dan pukat tinggal di kawasan terumbu karang.

“Semoga Nemo yang pernah menjadi bintang filem animasi Hollywood ini terus menyerikan pantai Port Dickson yang indah dengan terumbu karang uniknya,” ujar Bakri.

Show More

Related Articles

Back to top button