Berita

Nexperia sumbang RM22 ribu ceriakan asnaf DUN Sikamat

200 asnaf terima sumbangan daging, ayam dan kordial

SEREMBAN: Petang tadi syarikat pengeluar semi-konduktor, Nexperia Malaysia yang beroperasi di Taman Tuanku Jaafar, Senawang telah menyumbang bantuan makanan basah kepada 200 asnaf di DUN Sikamat.

Sumbangan berbentuk daging lembu (2 kg), ayam (dua ekor) dan kordial minuman yang bermilai RM100 untuk setiap individu diserahkan oleh Naib Presiden dan Pengurus Besar Nexperia Malaysia Sdn Bhd, Encik Harith Abdullah kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat.

Dato’ Seri Aminuddin dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak Nexperia di atas kesudian memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk menjayakan majlis sumbangan makanan kepada asnaf di DUN Sikamat.

“Saya mendoakan syarikat Nexperia dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan operasi dan semoga kilangnya diperbesarkan lagi, agar Nexperia boleh mencatat keuntungan yang lebih tinggi.

“Apabila membuat keuntungan yang lebih banyak, maka pihak Nexperia juga boleh menjalankan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang lebih banyak. Mungkin pada tahun depan pihak Nexperia boleh anjurkan aktiviti kebajikan seperti ini,” kata Dato’ Seri Aminuddin.

Sementara itu dalam ucapannya terlebih dahulu, Encik Harith berkata pihak Nexperia telah memperuntukkan RM22,000 untuk tujuan murni ini.

“Menjelang sambutan Hari Raya yang dijangka pada hari Ahad ini 24 Mei 2020, sudah pasti ada golongan yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan untuk menyambut Aidil Fitri dengan meriah.

“Justeru, atas dasar prihatin selaras dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Nexperia tampil untuk membantu golongan asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri ini.

“Nexperia berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan penerima bantuan ini dan seterusnya memeriahkan lagi sambutan Aidil Fitri bersama keluarga tersayang pada tahun ini,” kata Encik Harith.

Seramai 10 asnaf menerima sumbangan makanan basah ini daripada Dato’ Seri Aminuddin dan Encik Harith di Balai Raya Taman Desa Rhu, Sikamat.

Baki 190 beg berisi makanan basah ini diedarkan oleh sukarelawan Pusat Khidmat DUN Sikamat dari rumah ke rumah asnaf sekitar DUN Sikamat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button