Berita

Nicole: Anjing dan kucing liar merupakan ciptaan tuhan juga

BUKIT KEPAYANG: Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang meracuni 10 ekor anjing dan kucing liar di sebuah taman perumahan di Seremban baru-baru ini.

Menurut Nicole, pada 15 Mac lepas, kejadian 10 ekor anjing dan kucing liar yang mati akibat diracuni di taman perumahan tersebut, dilaporkan kepada beliau.

“Memang tidak dinafikan sesetengah anjing liar membawa ketidakselesaan terhadap penduduk. Ada yang kejar kenderaan yang mana ia bahaya untuk penunggang motosikal dan basikal.

“Kebanyakan haiwan liar ini membuang najis merata-rata dan pemilik rumah terpaksa membersihkan tempat tersebut.

“Ada juga yang buat aduan bahawa anak mereka cedera akibat dikejar anjing liar.

“Walaupun pelbagai kejadian dilaporkan, tindakan meracuni anjing dan kucing liar tetap salah,” ujarnya.

Nicole menasihatkan orang ramai, jika berhadapan dengan masalah anjing liar, laporkan terus kepada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) supaya mereka dapat mengarahkan pasukan penguatkuasa untuk menangkap anjing tersebut dan letak di bawah jagaan NGO seperti FurryKids Safeheaven.

“Haiwan juga merupakan ciptaan tuhan, fizikal manusia yang lebih besar tidak bermaksud kita boleh bertindak sebarangan untuk meracuni mereka.

“Saya berharap pelaku-pelaku yang buat demikian insaf dan menghalau anjing liar tersebut mengikut cara yang betul,” katanya yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Untuk melaporkan permasalahan ini, boleh membuat aduan kepada melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam https://mbseremban.spab.gov.my/eApps/sdmscasepool/SdmsCasePool/add.do  atau pun melalui talian hotline MBS 06-7654444.

Show More

Related Articles

Back to top button