Berita

Nicole: Belajar untuk bertoleransi dengan ibubapa

BUKIT KEPAYANG: Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon menasihatkan anak muda agar belajar bersikap toleransi dengan ibubapa.

Menurut Nicole, baru-baru ini beliau menerima dua kes anak lari dari rumah.

“Kes pertama, seorang anak yang telah habis belajar di universiti dan membuat keputusan tidak kembali ke rumah dan sebaliknya bekerja di tempat lain.

“Ibunya sangat rindu dan berharap anaknya menghubunginya dan balik ke sisinya. Namun, sehingga hari ini, anaknya tidak menghubungi ibunya langsung.

“Kes kedua pula seorang remaja berusia 17 tahun, beberapa kali melarikan diri dari rumah.

“Setelah dirujuk kepada kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat, di dapati remaja ini tertekan kerana keadaan ibubapanya yang tidak dapat bercakap (OKU pendengaran).

“Walaupun kasih sayang ibubapanya tidak pernah kurang, namun remaja ini tetap rasa rimas dan menolak untuk berkomunikasi dengan ibubapanya,” jelas Nicole.

Nicole berkata, semua orang mempunyai tekanan masing-masing. Namun, harus belajar bersikap toleransi dan belajar untuk memikul tanggungjawab.

“Tidak ada seorang pun yang sempurna. Jika terhadap ibubapa pun berperangai sedemikian, maka akan menimbulkan lebih banyak kes warga tua ditinggalkan atau pun menyebabkan kes jenayah seperti mendera ibubapa meningkat.

“Tidak kira apa yang berlaku di dalam keluarga, kita harus bersyukur bahawa kita masih mempunyai ibubapa dan boleh menjaga mereka,” ujarnya.

Nicole berkata, beliau berharap anak-anak dapat kawal emosi masing-masing dan sentiasa berbaik dengan keluarga.

“Hubungan yang baik melibatkan ‘trafik dua hala’. Sebagai seorang ibu atau bapa, kita haruslah bersikap lebih terbuka dan mengikut peredaran zaman.

“Sebagai anak pula, kita haruslah buang sikap ego dan mengenang jasa dan budi ibubapa.

“Lambat laun kita semua akan jadi warga emas juga,” ulas Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Show More

Related Articles

Back to top button