Berita

Nicole hulur bantuan makanan kepada 15 pemandu teksi bajet

BUKIT KEPAYANG: Seramai 15 pemandu teksi bajet yang beroperasi di Perhentian Teksi AEON, Seremban 2 telah menerima sumbangan makanan asas dari ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon.

Nicole berkata, perniagaan teksi semakin merosot bukan sahaja kerana penularan wabak Covid-19, tetapi juga kerana saingan daripada pemandu e-hailing.

“Dalam keadaan yang susah ini, ada yang bertukar bidang (kerja) lain dan ada yang berniaga sambilan demi mencari rezeki menyara hidup.

“Saya berharap dengan bantuan makanan yang diberi, ianya dapat meringankan beban mereka.

“Saya juga memberi sokongan moral dan menasihati mereka tentang pematuhan langkah pencegahan Covid-19, kerana pemandu teksi berisiko besar terdedah kepada penyakit tersebut.

“Adalah sangat penting untuk kita semua bekerjasama memutuskan rantaian Covid-19,” jelas Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan.

Menurut Nicole, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Bajet telah dapat kelulusan dari Majlis Bandaraya Seremban untuk jadikan lokasi di hadapan AEON Seremban 2, sebagai pusat teksi secara rasmi.

“Justeru itu, Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang bersama Persatuan Pencinta Alam (MNS NSM) dan Bukit Kepayang Go Green telah menanam dua pokok buluh hiasan di perhentian teksi itu.

“Saya juga akan bantu menaikkan taraf perhentian teksi ini supaya aspek keselamatan dan keselesaan pemandu teksi dan penumpang dapat dijaga,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button