Berita

Nicole santuni petugas PPV Mega USIM

NILAI: Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon telah menyantuni dan memberi sumbangan barangan makanan kepada petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Nicole berkata, beliau telah menyumbang lima kotak mee segera, 20 tin biskut, 20 paket keropok, tiga kotak besar minuman 3 dalam 1, dua kotak minuman Milo, 10 karton air isotonik dan lima kotak kacang.

“Sumbangan ini sebagai tanda sokongan kepada PPV yang beroperasi pada hari cuti umum seperti USIM, PPV UiTM Rembau dan PPV Hospital Mawar.

“Diharapkan PPV yang lain boleh ikut jejak langkah USIM dengan membuka perkhidmatan pada hari cuti umum untuk mempertingkatkan lagi prestasi suntikan vaksinasi Negeri Sembilan yang masih berada pada tahap 15 peratus daripada jumlah populasi Negeri Sembilan.

“Pada masa sekarang hanya PPV awam yang dibuka pada cuti hujung minggu. Jutaan terima kasih kepada semua wirawati dan wirawan petugas PPV yang bertungkus-lumus kerja siang dan malam untuk memastikan lebih ramai warga Negeri Sembilan dapat divaksinasi,” kata Nicole.

Pengarah PPV Mega USIM, Profesor Dr.Muhammad turut memberi penerangan berkaitan sistem pelaksanaan suntikan vaksin.

“Difahamkan kapasiti PPV USIM adalah 3,000 dos sehari dan pernah capai 3,200 dos sehari.

“Tahniah di atas kecekapan warga kerja di PPV Mega USIM yang boleh vaksinasi 300 dos dalam masa sejam,” ujar Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Seremban, Puan Nur Airina Mazlan dan Penyelaras PPV Mega USIM, Encik Ekmal.

Show More

Related Articles

Back to top button