Berita

Nicole saran amalkan standard penjagaan khas untuk kanak-kanak autisme

SEREMBAN: Pihak yang bertanggungjawab disarankan mengamalkan ‘standard of care’ (standard penjagaan) yang berlainan untuk kanak-kanak autisme.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, penghidap autisme mempunyai masalah perkembangan neuropsikologi yang menghadkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung menjadikan mereka lebih istimewa daripada kanak-kanak lain.

“Saya berasa kecewa dan sedih dengan tragedi kanak-kanak autisme maut tiga jam terkurung dalam van pada Selasa.

“Ini bukan terhad kepada pengasuh pusat jagaan harian, tetapi juga terpakai untuk pemandu yang ditugaskan untuk membawa (kenderaan) kanak-kanak autisme dari satu tempat ke tempat yang lain,” kata beliau.

Menurut Nicole, sudah tiba masanya semua pihak yang bertanggungjawab dipastikan mengikuti SOP tertentu sebelum dibenarkan untuk bertugas sebagai pengendali kanak-kanak autisme.

“Kalau kita pergi melancong, pemandu pelancong sentiasa mengamalkan SOP membuat ‘headcount’ bagi memastikan semua pelancong berada dalam bas sebelum bas tersebut boleh bergerak.

“Secara lazimnya manusia sudah biasa dengan rutin harian. Jikalau rentak rutin tersebut terganggu maka berlakulah kes-kes di mana kanak-kanak tertinggal dalam kereta.

“Mungkin kita boleh menyemak semula langkah-langkah kita, jikalau rutin biasa kita terganggu agar perkara tidak diingini ini tidak berlaku,” jelas Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Kanak-kanak ditemukan tidak sedar diri

Pada Selasa, kanak-kanak terbabit ditemukan tidak sedarkan diri pada 5.30 petang di hadapan rumah seorang pemandu van di Bandar Sri Sendayan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan, namun pemandu van pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van.

“Siasatan awal mendapati pemandu van sepatutnya menghantar mangsa ke pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman, dekat sini, tetapi lelaki ini pulang ke rumah tanpa menyedari kanak-kanak itu masih berada di dalam kenderaan.

“Hasil maklumat, pemandu van tidak menyedari meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan itu, antara 2.30 petang hingga 5.30 petang di hadapan rumahnya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button