Berita

Nicole serah Insentif Kecemerlangan IPTA kepada 14 pelajar Bukit Kepayang

KEPAYANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon telah menyerahkan Insentif Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kepada 14 pelajar IPTA/IPTS di Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang.

Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan berkata; penyerahan bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban para pelajar serta dijadikan suntikan semangat untuk anak-anak Negeri Sembilan menimba ilmu.

Beliau turut menyerahkan sepucuk surat dengan pesanan peribadi dan menghadiahkan sebuah buku bertajuk ‘Malaysia Milik Kita Bersama’ tulisan Wan Hamidi Hamid sebagai tanda penghargaan serta menggalakkan para pelajar untuk berusaha dalam mempertingkatkan ilmu masing-masing.

“Para pelajar adalah pemimpin pada masa hadapan. Dalam surat tersebut saya menyatakan, walaupun setiap parti politik ada ideologi masing-masing, pemerintahan sesebuah negeri atau negara seharusnya berlandaskan Rukun Negara.

“Pemuda harus memanam semangat cinta pada negara kita dan yang paling penting sekali, memahami detik-detik yang telah dilalui untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum dan aman.

“Sentiasa amalkan sikap mengkaji, memahami dan menyelami sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menilai.

“Di harap para pelajar boleh mengambil iktibar dari buku ini dan bersama-sama memperbaiki negara kita,” kata Nicole.

Disebabkan penularan wabak Covid-19, majlis ini diadakan secara kecil-kecilan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Ke semua 14 pelajar tersebut yang melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS, adalah dari DUN Bukit Kepayang.

 

Show More

Related Articles

Back to top button