Aktiviti

Nicole Tan: Gandingan mantap PDRM dan JKM tangani keganasan dan pencabulan seksual terhadap wanita

SEREMBAN: Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon mencadangkan Bilik Triage di balai polis dimaksimakan penggunaannya untuk kes mangsa rogol, pencabulan seksual dan keganasan rumahtangga.

“Dengan adanya bilik tersebut, ia dapat mengurangkan rasa malu di hadapan orang yang tidak dikenali.

“Sememangnya wujud Bilik Triage di balai-balai polis yang sesuai dijadikan bilik khas tersebut. Bilik Triage ini juga boleh digunakan untuk kes-kes penderaan kanak-kanak dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Nicole Tan berkata demikian, selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Mat Yusop dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosnah Sardi bagi membincangkan cadangan untuk mewujudkan bilik khas semasa mangsa tampil untuk buat laporan polis.

Keganasan rumahtangga meningkat dalam tempoh PKP

Menurut Nicole Tan, kes berkaitan dengan keganasan rumahtangga semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Pandemik Covid-19 ini telah memberi kesan secara keseluruhan dan situasi ini secara tidak langsung menjadi punca pergolakan kebanyakan rumahtangga. Kekangan ekonomi dan tekanan yang dihadapi sememangnya menjadi suatu pencetus jika tidak ditangani secara baik.

“Namun, kebanyakan mangsa takut untuk melaporkan kejadian tersebut kerana faktor stigma. Stigma adalah sikap merendahkan atau menyebabkan orang hilang kepercayaan terhadap seseorang atau kelompok yang memiliki ciri-ciri tertentu sehingga menimbulkan pandangan buruk masyarakat.

“Ini adalah sikap yang tidak baik yang mana perilaku ini menyebabkan mangsa takut untuk melaporkan sesuatu terutamanya kaum wanita,” jelas Nicole Tan.

Masyarakat boleh memainkan peranan sebagai penyelamat

Nicole Tan berkata, selain stigma, salah satu punca mangsa takut untuk tampil buat laporan adalah disebabkan ketidakselesaan suasana semasa melapor di balai polis.

“Situasi ini juga menyebabkan mangsa malu untuk bercakap serta meluahkan perkara yang berlaku di hadapan orang ramai.

“Dalam perbincangan kami, didapati bahawa orang sekeliling juga boleh memainkan peranan dengan membantu dan memberikan maklumat awal berkaitan suatu perkara.

“Cuma perlu buat panggilan ke balai polis berdekatan dan menyatakan semua fakta (apa yang berlaku).

“Berdasarkan maklumat yang diberi, pihak polis akan memberi respon terhadap laporan tersebut walaupun hanya membuat laporan menerusi telefon.

“Ini menunjukkan satu komitmen yang tinggi daripada pihak polis untuk sedia membantu dan mendekati rakyat,” kata Nicole Tan.

Nicole Tan berkata, beliau berharap orang ramai dapat kongsikan maklumat ini supaya dapat membantu mangsa untuk tampil ke hadapan.

“Sentiasa dapatkan fakta daripada sumber yang sahih dahulu dan bantu bersuara jika didapati ianya maklumat yang tepat.

“Anda boleh menyelamatkan seseorang sebelum terlambat. Jadilah seorang yang prihatin dan penyayang,” ujarnya yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Show More

Related Articles

Back to top button