Berita

Nicole: Wanita perlu menyesuaikan diri hadapi cabaran Covid-19

BUKIT KEPAYANG: Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, wanita perlu menyesuaikan diri menghadapi cabaran pandemik Covid-19 dan tidak ketinggalan ke belakang.

Nicole berkata, pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang sangat besar kepada pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia dan wanita juga perlu menyesuaikan diri serta memaksa diri untuk maju ke hadapan.

“Kebanyakan negara di dunia telah memulakan medium atas talian (online) untuk mengadakan mesyuarat, kelas dan sebagainya.

“Seperti yang dimaklumkan, bermula dari 26 Oktober lepas, semua program Power House Wanita Gemilang (PH GEM) telah ditangguhkan untuk menjaga keselamatan orang ramai dan yang penting sekali untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Justeru, walaupun kelas fizikal tidak dapat dijalankan, PH GEM tetap perlu memikirkan sesuatu kaedah supaya kaum wanita tidak ketinggalan ke belakang.

“Maka pada 7 November lalu, PH GEM telah mengadakan ‘Bicara Kesedaran Kanser Payudara’ secara talian menggunakan aplikasi ZOOM,” katanya.

Jangan abai aspek kesihatan yang lain

Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang berkata, walaupun Hari Kanser Payudara Sedunia telah berlalu pada Oktober lepas, maklumat berkaitan dengan penyakit ini wajib disampaikan kepada golongan wanita kerana kadar kematian untuk kanser payudara semakin meningkat.

“Melalui program ini, diharap dapat memberi maklumat lanjut untuk mencegah dan menyahut orang ramai untuk buat pemeriksaan awal.

“Walaupun di masa pandemik ini, aspek kesihatan yang lain juga tidak harus diabaikan,” ulas Nicole dalam ucapan perasmian.

PH GEM menjemput dua orang panel iaitu Perunding Pakar Bedah Am, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin NSCMH, Dr. Ng Sze How dan Perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan NSCMH, Dr. Lau Jinn Hwa.

Manakala moderator pula Dr. Izzati Wan Maharuddin yang merupakan Pegawai Perubahan UD48, Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Nicole, pada hujung bulan November ini, PH GEM akan menganjurkan webinar yang kedua bertopik ‘Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita – Katakan Tidak Pada Keganasan Terhadap Wanita’ sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan orang ramai menyertai program atas talian ini, supaya mesej dan makluman boleh disampaikan kepada masyarakat,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button