Berita

Pak Om: Anak perlu dilengkapkan dengan kemahiran ‘survival’ hidup

Kelulusan akademik sahaja tidak memadai sebaliknya perlu kemahiran diri

CHEMBONG: Ketua Ekskutif Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS), Tuan Baharom Abu Bakar menyarankan ibubapa perlu melengkapkan anak-anak dengan kemahiran kritikal survival hidup.

Baharom atau lebih dikenali sebagai Pak Om berkata, perkara ini perlu diberi perhatian dalam menghadapi cabaran kemelesetan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

“Peranan ibubapa adalah membentuk anak-anak dan ahli keluarga yang trampil dan mantap dari segi sahsiah, komunikasi dengan alam sekitar dan kemahiran-kemahiran kritikal survival hidup, kerjaya dan profesional diri masing-masing.

“Kelulusan akademik sahaja tidak memadai dalam menghadapi cabaran dan persaingan dalam dunia tanpa sempadan ini,” kata Pak Om yang juga seorang Kaunselor dan Pakar Motivasi yang sangat luas pengalamnya dalam bidang pendidikan ini.

Beliau berkata demikian dalam Program Gotong Royong dan Sesi Motivasi Keibubapaan Selepas Covid-19, anjuran Pertubuhan Perjuangan Rakyat Malaysia (PPRM) dengan kerjasama MPKK Kundor Hilir, Rembau.

Mantan Kanselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan ini berkata, salah satu pilihan terbaik generasi muda hari ini dalam hadapi cabaran semasa adalah meneruskan pengajian dibidang TVET bertempat di KAYNS.

“KAYNS ada menawarkan kira-kira 200 tempat belajar dalam pelbagai bidang seperti automatif, elektrik, kulinari, pastri, perhotelan, elektronik, jahitan, VTO dan sebagainya.

“Peruntukan pinjaman kewangan untuk yuran pengajian turut disediakan oleh Yayasan Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Program yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Ismail Ahmad mendapat respon yang sangat positif dari para hadirin.

Ismail turut mengetuai majlis gotong membersihkan kawasan balairaya dan menziarahi beberapa asnaf termasuk golongan OKU di kampung tersebut dan menyampaikan sumbangan.

Encik Mohd Anas Sdin yang mewakili pimpinan PPRM, menyatakan program ini adalah salah satu khidmat bakti PPRM kepada masyarakat yang dijalankan di seluruh Negeri Sembilan.

Kira-kira 50 orang penduduk setempat melibatkan diri dalam program ini.

Turut hadir Penyelaras DUN Chembong, Tuan Nasaruddin Ibrahim, kepimpinan MPKK dan masyarakat setempat serta aktivis PPRM.

Show More

Related Articles

Back to top button