Berita

Pak Om: Komunikasi Cemerlang, Kerjayanya Gemilang

Kajian sosio-ekonomi menunjukkan mereka yang berpendapatan tinggi terdiri dari mereka yang cemerlang komunikasinya

JERAM PADANG: Ketua Eksekutif Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS), Tuan Bahrom Abu Bakar berkata, banyak kajian sosio-ekonomi menunjukkan bahawa mereka yang berpendapatan tinggi terdiri dari mereka yang cemerlang komunikasinya dengan orang lain.

Begitu juga mereka yang berjaya tinggi dalam bidang kerjaya masing-masing, didapati kejayaan itu ada kaitan rapat dengan kecemerlangan komunikasi.

Demikian intipati yang disampaikan oleh Bahrom atau lebih dikenali sebagai Pak Om dalam program Motivasi Kemahiran Keibubapaan Era Pasca Covid-19 anjuran Pejabat Penyelaras DUN Jeram Padang dengan kerjasama MPKK Felda Palong 2 di Dewan Tan Sri Yusof Nor, Felda Palong 2.

“Komunikasi cemerlang tidak mungkin terhasil dari lakonan teknikal yg dibuat-buat. Malah ia adalah hasil dari gabungan sejati jiwa yang bersih, keikhlasan hati dan latihan yang saintifik serta berkesan.

“Tingkah laku yang termasuk dalam lingkungan komunikasi yang cemerlang adalah adab dan budi bahasa, menghormati ketua dan orang tua. Paling utamanya pada ibu bapa, bersopan santun dan mahir melayan pelanggan, kemahiran berunding dan bermuafakat, komunikasi yang asertif (bukan yang agresif) dan sebagainya.

“Justeru, sebagai ibu bapa, untuk mempastikan anak-anak kita berjaya, aspek adab, budi bahasa, sopan santun, menepati janji, menghormati tetamu, bersabar melayan karenah pelanggan, bijak mengambil hati, adalah perlu diberikan perhatian,” kata Pak Om.

Menurut Pak Om, sebagai seorang pentadbir dan penyelidik tingkah laku, beliau melihat aspek ini semakin rendah kualitinya, khususnya di kalangan generasi baru dan anak-anak muda.

Kajian-kajian juga menunjukkan, semua pemimpin ternama dunia, cemerlang komunikasinya dengan orang lain

Antara kemahiran utama dalam komunikasi yang diperlukan bagi seorang pemimpin dalam konteks semasa, selain dari pengucapan awam adalah kemahiran berunding, menyelesaikan masalah, meleraikan konflik, kendali pengikut yang bermasalah, bermuafakat, kemahiran mempengaruhi, komunikasi asertif, kemahiran memimpin, kemahiran kaunseling dan berbagai lagi.

“Sesungguhnya, dapatan kajian-kajian tersebut di atas, amatlah seiring dengan apa yang sedia terdapat dalam ajaran agama kita yang mulia, Islam.

“Barangsiapa yang mahu dimurahkan rezekinya dan diperpanjangkan umurnya, hendaklah dia menjaga dan memperbaguskan silaturrahim.

“Menurut hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim di atas, bagus komunikasi dengan orang lain, bukan sekadar murah rezekinya, malah menjadikan tubuh badan lebih sihat dan umur pun menjadi lebih panjang, dengan izin Allah,” jelas Pak Om.

Justeru, Pak Om mengajak masyarakat memperhalusi perhubungan, sopan santun, persaudaraan dan sebagainya dengan orang lain.

“Bersamalah kita sentiasa bermuhasabah membersihkan diri dari sifat-sifat keji dan buruk yang terdapat dalam diri. Dengan cara ini, dengan sendirinya perhubungan dan komunikasi dengan orang lain akan menjadi cemerlang dan sejahtera.

“Sesungguhnya, komunikasi dengan orang yang kasar, tidak sopan, bengis, keras, kesat, kata-kata yang menyakitkan hati orang lain, akan Allah balas dengan kerugian kepada diri kita sendiri, malah kepada keluarga dan masyarakat di sekeliling. Wallahuaklam,” ujar Pak Om.

Hadri sama Penyelaras DUN Jeram Padang, Tuan Musliadi Sabtu; Pengerusi MPKK Felda Palong 2, Encik Matwan Jamil; Pengurus Felda Palong 2, Encik Rahman Harun; Pengerusi KAF Felda Palong 2, Encik Razib Talib; Pengerusi MPKK Felda Palong 1, Encik Hussin; Pengerusi MPKK Tanah Panjis, Encik Tee Kok Jing; Pengerusi MPKK Taman Jaya, Encik Gobi; Setiausaha Felcra Rompin B, Puan Zaiton Daud dan Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Felda Palong 2, Puan Rahimah.

Show More

Related Articles

Back to top button