Berita

Pasar Besar Seremban beroperasi 5 pagi hingga 3 petang

Usaha untuk mengelak pelanggan berasak-asak di dalam pasar

SEREMBAN: Pasar Besar Seremban akan beroperasi bermula pukul 05.00 pagi hingga 03.00 petang bermula hari ini, kata Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong.

“Sebelum ini waktu operasi pasar basah di tingkat bawah adalah dari pukul 05.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Manakala waktu operasi gerai makanan dan minuman serta kedai menjual pakaian di tingkat atas, sebelum ini pula dari pukul 05.00 pagi hingga 02.00 petang.

“Ini adalah untuk mengelakkan pelanggan berasak-asak di dalam pasar dan langkah ini akan beri masa yang lebih panjang kepada pelanggan dan penjual untuk urusan jual beli.

“Langkah ini juga merupakan usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan ke Pasar Besar Seremban dalam usaha merancakkan semula ekonomi Negeri Sembilan umumnya,” katanya.

Waktu operasi yang lebih panjang di Pasar Besar Seremban akan beri manfaat kepada pelanggan dan peniaga.

YB Teo berkata demikian selepas turun padang ke Pasar Besar Seremban untuk meninjau keadaan perniagaan Pasar Besar Seremban pada hari pertama perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Mengulas permintaan para penjaja dan peniaga Pasar Besar Seremban yang meminta Kerajaan Negeri Sembilan mempertimbangkan pengecualian bayaran sewa bulanan untuk meringankan beban mereka, YB Teo berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti permintaan mereka.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, YB Nicole Tan Lee Koon; ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai; ADUN Lobak, YB Chew Seh Yong dan Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Encik Ho Weng Wah.

Show More

Related Articles

Back to top button