Berita

Pejabat Menteri Besar anjur kursus pelaporan berita untuk wakil rakyat PH NS

Peserta diajar teknik melaporkan berita dan tips mengurus media sosial

SEREMBAN: Dalam usaha memantapkan penyampaian komunikasi media dan penerangan wakil rakyat Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dengan kerjasama portal Negeri Kita telah menganjur Kursus Asas Pelaporan Berita di Bilik Gerakan, Wisma Negeri, Seremban baru-baru ini.

Kursus yang dikendalikan oleh Pengarang Negeri Kita, Encik Faiz Abdullah ini dihadiri oleh pegawai-pegawai media mewakili Speaker DUN, Timbalan Speaker DUN, Ahli Parlimen, Senator, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN.

Menariknya kursus ini turut dihadiri sendiri oleh Timbalan Speaker, Dato’M.Ravi; Exco Kerajaan Negeri, YB Veerapan dan YB Teo Kok Seong;  ADUN Lobak, YB Chew Seh Yong dan ADUN Mambau, YB Yap Yew Weng.

Peserta kursus diajar kaedah penulisan berita, teknik merakamkan foto dan tips menguruskan media sosial.

Peserta kursus diberi panduan dan kaedah mengumpulkan maklumat sebelum menulis berita yang efektif tentang isu, kejadian, majlis, program atau aktiviti. Turut diajar tips dan teknik merakamkan foto.

Sementara itu Setiausaha Akhbar Kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Ustaz Norazman Mohamad pula mengendalikan sesi penerangan pengurusan media sosial.

Dato’ Romli Ishak gesa pasukan media wakil rakyat PH Negeri Sembilan proaktif dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Pegawai Khas Kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Romli Ishak dalam ucapan perasmian penutup memuji usaha yang dijalankan oleh Negeri Kita dalam memperkasakan pasukan media semua wakil rakyat dan Penyelaras DUN Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

“Saya berharap usaha ini berterusan dan pada masa akan datang boleh anjurkan satu bengkel untuk mempertingkatkan lagi ilmu penulisan berita.

“Usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat perlu berterusan agar rakyat dapat berita yang tepat tentang Pakatan Harapan,” katanya.

#negerikita

#bersihmuafakatsejahtera

Show More

Related Articles

Back to top button