Berita

Kerajaan Negeri prihatin kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa

SIKAMAT: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa komited memastikan kebajikan dan keperluan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 26 November ini akan mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan rakyat supaya tidak ada yang terpinggir dari menerima manfaatnya.

“Sejak Kerajaan Pakatan Harapan diberi mandat pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Sembilan telah menubuhkan Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam sewaktu pembentangan Belanjawan 2019 dengan peruntukan sebanyak RM 1.5 juta.

“Manakala pada tahun 2020 peruntukan ditambah menjadi RM1.7 juta dan pada tahun 2021 dinaikkan menjadi RM1.8 juta.

“Kerajaan Negeri turut menyalurkan pelbagai jenis bantuan mengikut keperluan terutama kepada sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kuil dan tanah perkuburan Hindu,” katanya.

Aminuddin berkata demikian, dalam ucapan perasmian Majlis Sumbangan Deepavali DUN Sikamat di Dewan Orang Ramai, Taman Perwira malam tadi.

Tambah beliau, masyarakat India turut menerima pelbagai faedah dari inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri seperti Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) untuk para peniaga, Bantuan Anak Sekolah (BAS) untuk pelajar sekolah, Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi kepada mahasiswa yang memasuki menara gading dan pelbagai insiatif yang lain.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, YB Senator Dr. Ahmad Azam Hamzah; ADUN Sri Tanjung, YB Dato’ M.Ravi dan ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button