Berita

Pemandu mabuk mesti dihukum seberat-beratnya

Mencadangkan hukuman penjara maksimum 20 tahun

Takziah kepada keluarga mangsa. Satu lagi nyawa terkorban diakibatkan oleh pemandu mabuk.

Antara cadangan pindaan yang saya ingin bawa untuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 semasa saya masih menjadi Menteri Pengangkutan untuk memerangi isu ini ialah seperti berikut:

1) Meminda Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan minima enam tahun (Hukuman penjara sekarang ialah tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun)

2) Menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80mg alkohol dalam 100ml darah kepada 50mg alkohol dalam 100ml darah (atau kurang) mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

3) Meningkatkan denda dan penjara kepada pemandu yang melebihi had yang dibenarkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan.

4) Menggantung lesen memandu untuk seumur hidup sekiranya seseorang didapati bersalah menyebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk. Saya berpendapat seseorang pemandu mabuk yang telah meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya.

Namun, undang-undang yang seketat mana pun tidak akan efektif sekiranya tiada penguatkuasaan yang tegas dan berkesan.

Pihak penguatkuasa undang-undang mesti mempunyai tahap integriti yang paling tinggi dan menjalankan tugas “without fear or favour”.

Itu sebabnya saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan “pilot project” di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mewajibkan semua penguatkuasa JPJ untuk memakai “body camera” semasa menjalankan tugas namun semua itu tinggal cadangan sekarang.

Pendirian kami amat jelas. Kami tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras. Tetapi, selepas minum alkohol, anda tidak ada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain.

Pemandu mabuk mesti dihukum seberat-beratnya!

Anthony Loke Siew Fook

Mantan Menteri Pengangkutan

Ahli Parlimen Seremban

27 Mei 2020

Show More

Related Articles

Back to top button