Berita

Pembukaan semula rumah ibadat Bukan Islam di Negeri Sembilan.

SOP disediakan untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19

Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai pembukaan semula rumah ibadat Bukan Islam dengan memastikan semua garis panduan atau SOP dipatuhi sepenuhnya.

Sebelum pembukaan rumah ibadat di Negeri Sembilan, jawatankuasa pengurusan tempat ibadat perlu memaklumkan kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Bukan Islam dengan memberikan beberapa maklumat berkaitan tempat ibadat tersebut dan hanya boleh membuka selepas menerima maklum balas daripada kerajaan negeri sahaja.

Ini adalah untuk memastikan kerajaan negeri mempunyai maklumat lengkap berkaitan tempat-tempat ibadat yang dibuka dan membolehkan pemantauan dilakukan oleh pegawai daripada Jabatan Perpaduan Negeri Sembilan, PDRM, RELA dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

 

Garis panduan atau SOP dalam pembukaan tempat ibadat Bukan Islam di Negeri Sembilan adalah seperti berikut:

1. Kebenaran di zon hijau dan kuning sahaja. (Negeri Sembilan: Daerah Rembau dan kawasan Sendayan tidak dibenarkan)

2. Waktu operasi kembali seperti biasa dengan kawalan kendiri dan kebiasaan baharu.

3. Beroperasi dengan kapasiti 1/3 daripada bilangan penganut bagi dewan atau bilangan bergantung kepada ruang ibadat dengan amalan penjarakkan sosial 1 meter.

4. Penanda jarak (1 meter) wajib dilaksanakan di dalam dan luar rumah ibadat.

5. Penganut yang menghidap penyakit kronik, demam, gejala batuk, sakit tekak, selsema atau sesak nafas dan kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan.

6. Menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, merekod kehadiran dan menggunakan hand sanitizer. Digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera.

7. AJK pengurusan rumah ibadat, petugas dan penganut hanya terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.

8. Tidak mengadakan sebarang aktiviti berjadual seperti kelas keagamaan dan kebudayaan.

9. Tiada upacara keramaian, perarakan dan sebarang perhimpunan di dalam dan luar rumah ibadat.

10. Tidak berkongsi peralatan dan bahan sembahyang.

11. Tidak bersalaman dan bersentuhan.

12. Penganut diwajibkan membawa kad pengenalan diri dan memakai pelitup muka.

13. Sebarang pemberian makanan adalah secara makanan berbungkus (packed food) dan tidak dibenarkan makan di dalam rumah ibadat.

14. Semua AJK pengurusan rumah ibadat, ketua agama dan petugas perlu menjalani saringan kesihatan sebelum memulakan tugas.

15. Penggunaan tandas dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.

16. Perkahwinan / pertunangan belum dibenarkan.

Garis panduan atau SOP ini adalah sangat penting untuk memastikan tiada sebarang isu atau penularan Covid -19 berlaku pada masa akan datang.

Oleh itu, kerjasama daripada jawatankuasa pengurusan tempat ibadat ini adalah sangat penting untuk memastikan semua garis panduan ini diikuti oleh penganut dan jawatankuasa pengurusan sendiri.

Jawatankuasa pengurusan tempat ibadat perlu mengemukakan beberapa maklumat kepada Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Bukan Islam Kerajaan Negeri Sembilan dengan mengisi satu borang permohonan (Lampiran 1).

Borang permohonan ini boleh dihantar terus kepada Pejabat Exco Hal Ehwal Bukan Islam iaitu pejabat saya sendiri atau pun boleh email atau Whatsapp kepada nombor 016-6668207.

Selain itu, jawatankuasa pengurusan tempat ibadat juga boleh menghantar borang maklumat tersebut kepada beberapa pertubuhan agama (Parent Body) seperti Malaysia Hindu Sangam Negeri Sembilan, Malaysia Buddhist Assosiation Negeri Sembilan, Catholic Association of Negeri Sembilan, Seremban Pastor Fellowship, Gurdwara Seremban dan National Evangelical Christian Fellowship. Parent body atau pertubuhan agama ini akan membantu dalam mengumpulkan borang maklumat tersebut daripada jawatankuasa tempat ibadat dan akan panjangkan kepada pejabat Exco.

 

Selepas membuat tapisan, maklum balas akan diberitahu kepada jawatankuasa tempat ibadat melalui beberapa kaedah. Selepas menerima maklum balas, pihak jawatankuasa pengurusan tempat ibadat perlu memaparkan maklum balas tersebut di tempat ibadat untuk memudahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan. Tempat ibadat hanya boleh beroperasi selepas menerima maklum balas daripada pejabat Exco sahaja.

Pemantauan terhadap tempat-tempat ibadat akan dilaksanakan oleh Pegawai Pemantau dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan penglibatan beberapa agensi lain untuk memastikan SOP dipatuhi. Jika tidak dipatuhi, tindakan diambil terhadap pengurusan tempat ibadat dan penganut yang tidak mematuhi SOP tersebut. Selain itu, jika SOP tidak dipatuhi, tempat ibadat juga akan diarahkan untuk ditutup.

Kesediaan masyarakat atau penganut mematuhi SOP juga salah satu aspek yang perlu diberi tumpuan oleh jawatankuasa pengurusan tempat ibadat. Oleh itu, jawatankuasa tempat ibadat perlu bersedia daripada semua aspek sebelum pembukaan tempat ibadat dilaksanakan.

Tarikh permulaan pembukaan tempat ibadat bermula pada 23 Jun 2020 di Negeri Sembilan dan maklum balas kepada setiap permohonan yang dikemukakan akan diberi dalam kadar segera. Tarikh pembukaan untuk setiap tempat ibadat bergantung kepada permohonan yang dikemukakan dan maklum balas yang diterima oleh jawatankuasa tempat ibadat.

YB. Arul Kumar A/L Jambunathan
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai

Show More

Related Articles

Back to top button