Berita

Penantian 40 tahun peserta Felcra Temeris 2 berakhir

KUALA PILAH: Seramai 212 peserta Felcra Temeris 2 menerima geran tanah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, Projek Temeris 2 merupakan projek tambahan kepada Projek Temeris 1 yang mana peserta asalnya adalah sama tetapi Projek Temeris 1 mempunyai keluasan yang berbeza-beza.

“Mengambil kira faktor ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 1987 telah meluluskan tanah seluas 3 ekar kepada setiap peserta asal di Projek Temeris 2.

“Semoga dengan penambahan 3 ekar kepada setiap peserta akan memberi impak kewangan dari segi penambahan pendapatan dan ekonomi peserta.

“Alhamdulillah, penantian selama 40 tahun telah berakhir apabila kesemua 212 peserta menerima geran tanah di Temeris 2 seluas tiga ekar setiap seorang,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, projek Temeris 2 telah dibuka pada tahun 1982 dengan tanaman getah. Setelah itu, tanah rancangan ini telah ditanam semula dengan tanaman getah pada tahun 2014.

‘Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan setiap tanah rancangan yang ada di Negeri Sembilan diberikan hakmilik setelah selesai pembayaran CAC.

“Tanah rancangan merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat luar bandar dapat merasa kesaksamaan ekonomi,” ujar beliau.

Menurut Aminuddin lagi, Kerajaan Negeri dan FELCRA sentiasa bekerjasama dalam memastikan setelah CAC selesai dibayar permohonan untuk pemberian hakmilik tanah diproses.

“Projek ini akan mula mengeluarkan hasil sepenuhnya pada penghujung tahun 2022. Memandangkan projek ini akan berhasil sepenuhnya pada tahun 2022 saya berharap pengurusan Felcra akan terus komited di dalam menguruskan projek getah ini bagi memberi manfaat kepada semua peserta Temeris

“Saya berharap peserta Temeris 2 dapat memainkan peranan dan dapat memberi bekerjasama kepada Pengurusan Felcra bagi memastikan projek ini terus berjaya dan dapat memberi pulangan hasil keuntungan kepada para peserta,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button