Berita

Peniaga Benteng Walk kerugian akibat kebakaran terima bantuan kewangan dari Nicole

Sumbangan kewangan RM2 ribu dan kos baikpulih gerai RM5 ribu

BUKIT KEPAYANG: ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon menyampaikan sumbangan kewangan RM2,000 kepada dua peniaga Benteng Walk, yang mengalami kerugian akibat kejadian kebakaran pada 21 April lalu.

Nicole berkata, pada 21 April 2021, satu kejadian kebakaran telah berlaku di Jalan Dr.Krishnan (Benteng Walk), Seremban. Kejadian kebakaran itu mengakibatkan gerai mudah alih (beroda) milik dua peniaga, Saudara Bob dan Saudari Surya mengalami kerosakan.

“Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang juga telah membantu membaikpulih kedua-dua gerai mudah alih yang rosak dengan kos RM5,000.

“Lokasi kebakaran tersebut merupakan tempat letak gerai mudah alih apabila tidak berniaga.

“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Seremban bagi mengenalpasti lokasi yang lebih sesuai untuk meletak gerai mudah alih tersebut,” kata Nicole.

Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan berkata, penularan wabak Covid-19 kini telah menjejaskan pendapatan para peniaga.

“Untuk menarik minat orang ramai berkunjung ke Benteng Walk, Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang bukan sahaja akan mengecat gerai yang rosak, malah akan menjalankan promosi dari semasa ke semasa.

“Inisiatif merancakkan ekonomi juga akan dilakukan supaya dapat membantu para peniaga mengharungi detik kesukaran sekarang.

“Saya ingin menyeru kepada orang ramai, agar ikutilah SOP yang telah ditetapkan. Dalam masa genting ini, kita tidak boleh pentingkan diri,” ujarnya lagi.

Nicole berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas akibat Covid-19.

Show More

Related Articles

Back to top button