Kolumnis

Penjaja Senawang disaran beri komitmen segera

Bayaran RM135 setahun untuk kerja pengurusan, pembersihan dan kutipan sampah

EDY NOOR REDUAN: Peniaga dan penjaja yang memohon tapak dan lesen perniagaan harian di kawasan Senawang awal bulan lalu, kini telah diluluskan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).Namun pihak Negeri Sembilan Update (NSU) difahamkan bahawa sehingga semalam hanya 30% dari peniaga dan penjaja ini telah membuat bayaran patil lesen.

Lebih kurang 70% penjaja masih belum membuat bayaran untuk lesen yang telah dikeluarkan oleh pihak MBS walaupun perniagaan telah dimulakan.

NSU menggesa pihak penjaja Senawang yang sudah diberi tapak dan kebenaran berniaga secara berlesen oleh MBS supaya memberikan komitmen yang lebih serius.

Bayaran yang dikenakan untuk patil lesen hanyalah RM135 untuk setahun. Itu pun setelah pihak MBS memberi subsidi sebanyak RM36 untuk setiap penjaja.

Bayaran yang sepatutnya ialah RM151 + RM20 (proses) bersamaan RM171 untuk setahun.

Bayaran RM135 untuk setahun itu digunakan oleh MBS untuk kerja pengurusan, pembersihan dan kutipan sampah. Ia demi keselesaan pengunjung dan juga penjaja.

Masalah berlaku apabila pihak penjaja meneruskan perniagaan setiap hari tanpa membayar patil lesen. Ia menyebabkan kos pembersihan dan pengangkutan sampah akan tergendala kerana tiada bayaran untuk kontraktor SWM Environment bagi kerja kutipan sampah.

NSU menasihatkan agar peluang perniagaan seperti ini janganlah dilepaskan hanya kerana tidak mampu membayar patil lesen sebanyak RM135 setahun. Jumlah ini tersangatlah kecil dan jika dibahagikan menjadi RM11.25 untuk 30 hari (sebulan).

Masih kita tidak lupa bagaimana marahnya golongan penjaja dan peniaga di Senawang apabila gerai statik yang didirikan secara kekal dan secara tidak dibenarkan telah diroboh oleh MBS.

Kini pihak MBS dengan sokongan Kerajaan Negeri telah menyediakan peluang serta tapak perniagaan yang berpatutan dengan harga, malah membantu dari segi pemberian subsidi dan banyak kelonggaran supaya penjaja dapat berniaga mencari nafkah tambahan.

NSU turut dimaklumkan bahawa, sekiranya pihak penjaja tidak membuat bayaran dalam tempoh tertentu, pihak MBS akan membuka peluang ini kepada penjaja lain yang sedia memberi komitmen.

Diharapkan para penjaja dapat membuat bayaran secepat yang mungkin demi memudahkan kerja dan pelaksanaan tanggungjawab masing-masing dengan baik.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Media Negeri Sembilan Update (NSU)

 

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

Show More

Related Articles

Back to top button