Berita

Penoreh getah Kampung Ulu Inas bakal dapat jambatan baru

JOHOL: Penyelaras DUN Johol, Tuan Zailan Munawar berkata, sebuah jambatan baru akan dibina di Kampung Ulu Inas, bagi memudahkan penduduk kampung ke kebun getah untuk kerja menoreh.

“Penduduk kampung sangat-sangat memerlukan sebuah jambatan yang lebih kukuh memandangkan setiap kali hujan lebat jambatan sedia ada akan dihanyutkan oleh air sungai yang deras.

“Saya simpati dengan nasib penoreh getah di kampung ini yang menghadapi kesukaran sejak sekian lama. Mereka menanggung risiko ketika pergi dan balik dari menoreh.

“Keadaan jalan yang licin berselut serta jambatan kecil yang tidak kukuh membahayakan nyawa mereka terutamanya ketika membawa keluar hasil getah.

“Saya akan cuba menyelesaikan masalah ini dengan seberapa segera,” kata Zailan.

Pengerusi MPKK Kampung Ulu Inas, Encik Ghazali berkata, sehingga hari ini, pihak MPKK telah membaiki jambatan sedia ada sebanyak lapan kali.

“Setelah dibaiki, apabila hujan lebat, jambatan ini akan rosak atau dihanyutkan oleh air sungai yang deras,” ujarnya.

Zailan berkata, bentuk muka bumi DUN Johol sebahagian besarnya berbukit dan mempunyai banyak sungai yang belum terusik keindahan semulajadinya.

“Ianya berpotensi dijadikan sebagai lokasi aktiviti riadah dan eko-pelancongan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button