Berita

Penyelaras DUN Pertang perkenal perkhidmatan aduan rakyat ‘hotline’ dan ‘online’

PERTANG: Pejabat Penyelaras DUN Pertang mengambil sikap proaktif dengan memperkenalkan perkhidmatan aduan rakyat melalui panggilan telefon (hotline) dan atas talian (online).

Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abdul Kadir berkata, berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan khususnya PKP 3.0, beliau mengambil langkah alternatif ini, memandangkan pejabatnya terpaksa ditutup sementara waktu akibat pandemik Covid-19.

“Dengan adanya kaunter hotline dan online ini, kami dapat menyelesaikan aduan serta permohonan bantuan dengan efisyen walaupun tidak berada di pejabat.

“Baru-baru ini kaunter kami telah menerima panggilan dari MPKK Kampung Lakai berkenaan aduan seorang imam Masjid Kampung Lakai, Encik Shiazli Ismail yang demam beberapa hari, mengalami sesak nafas dan batuk yang serius serta mengalami simptom jangkitan Covid-19 sementara masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Kakitangan pejabat saya mengambil tindakan pantas dan melaporkan kes ini kepada Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu.

“Pihak Hospital Jelebu bertindak segera dengan membawa Encik Shiazli ke hospital pada hari tersebut juga. Keadaan beliau sekarang stabil dan didoakan semoga Encik Shiazli sembuh seperti sediakala,” jelas Zainal Fikri.

Manfaatkan perkhidmatan aduan secara hotline dan online

Zainal Fikri turut menyarankan masyarakat DUN Pertang khususnya untuk memanfaatkan khidmat hotline dan online yang disediakan.

“Perkhidmatan hotline dan online memainkan peranan penting ketika PKP. Di sebalik pandemik yang berlaku di negara kita, terdapat juga hikmah yang tersirat.

“Kerajaan sering kali menggalakkan rakyat untuk menggunakan aplikasi dan perkhidmatan online yang disediakan dan ini secara tidak langsung mendidik masyarakat ke arah penggunaan teknologi seawal yang mungkin.

“Maka apabila saya memperkenalkan perkhidmatan secara hotline dan online, masyarakat dididik bahawa untuk membuat aduan tertentu, tidak semestinya mereka perlu datang ke pejabat saya, sebaliknya aduan boleh diuruskan secara panggilan telefon ataupun online,” kata Zainal Fikri.

Pejabat Penyelaras DUN Pertang telah mewujudkan tiga kaunter hotline dan online untuk dihubungi:

Kaunter Hotline/Online 1 – Encik Thiru Selvam (Ali) di talian 013-276 5806 (panggilan telefon dan Whatsapp)

Kaunter Hotline/Online 2 – Encik Mohamad Norli Nurizam (Mad) di talian 010-816 6757 (panggilan telefon) dan 013-900 6757 (Whatsapp)

Kaunter Hotline/Online 3 – Puan Suhaila (Su) di talian 013-662 0522 (panggilan dan Whatsapp)

Show More

Related Articles

Back to top button