Berita

Perasaan sayang kepada negara, tali pengikat perpaduan bangsa

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, perasaan sayang kepada negara boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa khususnya di negeri ini.

“Kita ingin melihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita. Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang di pejabat, premis perniagaan, sekolah, masjid dan di rumah serta di kenderaan masing-masing sebagai tanda semangat kita sempena Hari Kebangsaan kali ini.

“Mudah-mudahan dengan cara ini rasa sayang kita kepada negara tidak akan padam sampai bila-bila walau di mana kita berada,” ujar beliau.

Hayati nikmat kemerdekaan, syukur kepada Allah

Menurut Aminuddin, rakyat seharusnya menghayati nikmat kemerdekaan yang dicapai, nilai persaudaraan dan perpaduan antara kaum serta kesejahteraan yang ada ketika ini.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni.

“Tanda mencintai Allah ialah dengan menyayangi setiap kurniaan-Nya.

“Kemerdekaan yang dinikmati ini adalah sebahagian daripada anugerah dan kurnia Allah SWT yang perlu disayangi, disyukuri dan dipelihara.

“Pelbagai nikmat telah dirasai hasil daripada kemerdekaan. Nikmat kurniaan Tuhan ini seharusnya dikekalkan dengan sentiasa mematuhi titah perintah-Nya,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian dalam Majlis Bacaan Yasin dan Doa Hari Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya malam tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button