Berita

Pertandingan Catur Piala Erat Negeri Sembilan 2021 secara online

Kategori terbuka dan Bukan Cina

TEMIANG: Persatuan XiangQi Negeri Sembilan akan mengadakan Pertandingan Catur Piala Erat Negeri Sembilan 2021 secara dalam talian (online) yang melibatkan peserta pelbagai kaum.

Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, YB Choo Ken Hwa berkata, pertandingan ini ditaja oleh Tabung Dana Erat Negeri Sembilan (ERAT@NS) dan akan berlangsung pada 20 dan 21 November ini.

“Saya berharap bukan sahaja pemain kaum Cina sahaja yang akan tertarik untuk mengambil bahagian, malah pemain bukan Cina juga sangat digalakkan untuk menyertai pertandingan catur ini.

“Ini dapat menggalakkan perpaduan dan mencapai intergrasi etnik dan budaya,” kata beliau.

Cho berkata, pertandingan ini dibahagikan kepada kategori terbuka dan kategori Bukan Cina.

“Hadiah RM1,000 ditawarkan kepada juara kategori terbuka dan dipercayai sebagai hadiah wang tunai tertinggi dalam pertandingan dalam talian.

“Bagi menggalakkan penyertaan Bukan Cina, peserta Bukan Cina tidak perlu membayar yuran pendaftaran RM30 bagi dewasa dan RM20 bagi pelajar,” jelas Cho yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut.

Sementara itu ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai berkata penganjuran Pertandingan Catur Piala Erat Negeri Sembilan 2021 secara dalam talian turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Muafakat Negeri Sembilan dan Kelab Belia Cemerlang Temiang.

“Memandangkan kos penganjuran kejohanan ini ditanggung oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan, jumlah hadiah yang ditawarkan kepada semua pemenang juga meningkat berbanding tahun lepas,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button