Aktiviti

PERTANG: 148 asnaf dan anak yatim disantuni Zainal sempena Ihya Ramadhan

PERTANG: Sempena bulan Ramadhan, Pejabat Penyelaras DUN Pertang telah menganjurkan program Ihya Ramadhan bagi menyantuni 148 orang asnaf, anak yatim, golongan ibu tunggal dan waris tokoh agama di DUN Pertang.

Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abdul Kadir berkata, program pertama bermula di Kampung Batu 17, Simpang Pertang dengan menyantuni 10 orang asnaf Orang Asal. Zainal Fikri menyumbang sebuah katil mudah alih kepada isteri Tok Batin kampung ini yang mengalami strok.

Seterusnya Zainal Fikri ke Kampung Jerang untuk menyantuni seorang asnaf yang terlantar sakit dan dua orang balu kepada tokoh agama yang disegani suatu masa dahulu iaitu Puan Sharifah Fatimah Syed Mohd Jamalullil (balu Allahyarham Syed Junid Syed Yusof) dan Puan Rahmah Long Husin (balu Allahyarham Dato’ Tan Ahmad Muhammad Zain).

Tan Ahmad merupakan kadi bagi daerah Durian Tipus dan dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Syariah Majlis Agama Islam Negeri sehingga akhir hayat beliau.

Program turut disertai YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

“Saya juga sempat membawa YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun menyantuni balu kepada Mantan Ketua Cabang KeADILan Jelebu, Allahyarham Mohd Sharir Zakaria.

“Seterusnya saya menyantuni tiga orang asnaf yang terlantar sakit akibat strok iaitu Encik Mat Zaman Abdul Sani serta pasangan suami isteri Encik Kamarudin Kapi dan Puan Aliah Md Rais.

“Saya juga membawa YAB Menteri Besar ke Bazaar Ramadhan di Felda Pasoh 1 untuk membeli juadah berbuka puasa sebelum ke Masjid Ehsaniah Felda Pasoh 4 untuk majlis berbuka puasa,” kata Zainal Fikri.

Terlebih dahulu sebelum majlis berbuka puasa, Zainal Fikri bersama Dato’ Seri Aminuddin Harun dan isteri beliau Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof sempat menyantuni 58 orang anak yatim dari DUN Pertang.

Wan Hasni turut menyerahkan bantuan kewangan kepada 15 ibu tunggal dari DUN Pertang.

“Setelah selesai berbuka puasa dan solat Maghrib, kami ke Masjid Ubudiah Felda Pasoh 1 untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Penasihat Agama YAB Menteri Besar, Ustaz Jaafar Muhammad dan seterusnya solat Isyak dan solat Tarawih,” jelas Zainal Fikri.

Show More

Related Articles

Back to top button