Berita

Peruntukan RM100 ribu untuk atasi banjir Kampung Petaseh

Melaksana kerja penyaluran di Kampung Petaseh

SEREMBAN: Berikutan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Petaseh, Pertang pada 20 September lepas; Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah membelanjakan RM100,000 untuk atasi masalah tersebut.

Exco Luar Bandar, YB Ismail Ahmad (Labu – Pakatan Harapan) berkata, kejadian banjir di Kampung Petaseh disebabkan oleh air dari Sungai Jelatang dan Sungai Petaseh tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak, melepasi tebing dan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

“Pada masa yang sama, kayu tersekat di pembentung JKR menyebabkan aliran air tersekat dan bacaan curahan hujan di Stesen Kampung Chennor mencatatkan 135mm.

“Antara langkah yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Petaseh adalah dengan melaksanakan kerja-kerja penyaluran di Kampung Petaseh dengan kos sebanyak RM100,000.00,” kata Ismail.

Ismail berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Noor Azmi Yusof (Pertang – BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14.

Ismail berkata, selain itu, langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk mengatasi banjir di Kampung Petaseh oleh pihak JKR adalah:

    1. Pembersihan permukaan box culvert dalam penyelenggaraan rutin dan menyelenggara longkang tanah di lokasi untuk tindakan jangka masa pendek.
    2. Menaik taraf box culvert kepada saiz yang lebih besar, menaik taraf longkang dan pembentung sedia ada dan menaik taraf triple culvert kepada struktur jambatan untuk tindakan jangka masa panjang

Menurut Ismail, pihak Baitulmal juga telah memberikan bantuan makanan asas bernilai RM100.00 kepada 17 keluarga yang terlibat dengan banjir.

Sementara itu, Penyelaras DUN Pertang, Tuan Yus Mazmi Ahmad Yusof mengucapkan terima kasih kepada Ismail dan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di atas tindakan segera yang telah diambil.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas usaha menyelesaikan masalah banjir di Kampung Petaseh,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button