Berita

Pesakit kanser cilik dapat perhatian pelbagai pihak

Adik Siti Nurhazira perlu ulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan kemoterapi

RANTAU: Nasib seorang pesakit kanser hati, Adik Siti Nurhazira Husaimi yang berusia tujuh tahun dari Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah; kini mendapat perhatian dan bantuan pelbagai pihak.

Pegawai Daerah Seremban, Tuan Mohd Nizam Tajul Arus bersama pegawai-pegawainya, telah menziarahi Siti Nurhazira dan menghulurkan bantuan berbentuk lampin pakai buang dan barang keperluan dapur.

Mohd Nizam turut meninjau keadaan rumah dan akan memohon peruntukan kepada Pejabat Menteri Besar untuk membaiki segala kerosakkan di rumah keluarga tersebut.

“Saya akan memanjangkan perkara ini kepada pihak Baitulmal untuk urusan bantuan seterusnya.

“Memandangkan terdapat sejumlah keluasan tanah berhampiran kediaman Encik Husaimi Azhar Lizar (bapa Siti Nurhazira), kita akan berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk potensi menjana pendapatan Siti Normah Mohamad Arof (ibu Nurhazira),” katanya.

Husaimi Azhar hanya bekerja sebagai pekerja am di syarikat SWM manakala ibunya pula terpaksa berhenti kerja bagi menjaga anaknya Siti Nurhazira.

NSU hulur sumbangan kewangan 

Terdahulu, Pertubuhan Kebajikan Terkini Negeri Sembilan (NSU) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sega telah menziarahi Siti Nurhazira dan menyampaikan sumbangan kewangan.

Pengerusi NSU, Dato’ Adzwan Ab Manas berkata, NSU menyalurkan bantuan kewangan bagi pihak Restoran Damsyik Empire kepada Adik Siti Nurzahira yang baru menjalani pembedahan bagi membuang sel kanser di Hospital Kuala Lumpur dan kini kerap berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan kemoterapi (ubat anti kanser).

“Kami berharap sumbangan kewangan ini dapat meringankan beban keluarga ini.

“Ramai di kalangan masyarakat kita penyayang dan prihatin.

“Justeru, kami memohon lebih ramai pihak tampil membantu meringankan keperitan dan menampung perbelanjaan ulang-alik keluarga ini ke hospital,” kata beliau.

Turut hadir Setiausaha MPKK Kampung Sega, Puan Syakira Shahrulnizam yang memanjangkan makluman mengenai keadaan Siti Nurhazira kepada pihak berkaitan.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyatakan penghargaan dan gembira di atas keprihatinan dan penglibatan NSU yang membantu golongan yang memerlukan di Negeri Sembilan.

JKM serah bantuan kewangan segera

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Puan Rosnah Sardi berkata, pihak JKM Daerah Seremban telah menziarahi keluarga ini pada 7 September lepas.

“Bantuan segera RM200 telah diserahkan kepada keluarga ini.

“Bantuan bulanan juga akan dipertimbangkan kepada keluarga ini bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan dan rawatan Adik Nurzahira,” kata Rosnah.

Rosnah menjelaskan Siti Nurhazira menghidapi penyakit Kanser Hati dan telah menjalani pembedahan membuang sebelah hatinya pada pertengahan bulan Ogos 2020 yang lalu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (HKL).

“Siti Nurhazira masih menjalani rawatan hingga kini. Siti Nurhazira perlu menjalani rawatan kemoterapi dan akan tinggal di wad hospital empat ke lima hari sekali rawatan.

“Rawatan akan berterusan selang dua minggu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Siti Nurhazira akan ditemani dan dijaga oleh ibunya setiap kali rawatan dan memerlukan kos pengangkutan dan perbelanjaan untuk diri dan ibunya,” jelas Rosnah lagi.

Negeri Kita mengalu-alukan sumbangan kewangan kepada Adik Siti Nurhazira bagi meringankan penderitaan ini.

Nama dan nombor akaun bank adalah seperti berikut:

Nombor Akaun Bank Simpanan Nasional: 05115-41-00011820-7
Nama: Siti Normah Mohamad Arof (Ibu Siti Nurhazira)
Pertanyaan: 017 – 650 5061.

Show More

Related Articles

Back to top button