Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan mesra jemaah masjid

Membenarkan solat Tarawih, solat Jumaat dan solat Fardhu berjemaah

SEREMBAN: Menjelang bulan Ramadhan minggu hadapan, semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat Sunat Tarawih; kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Menariknya, walaupun berada dalam tempoh PKP 2.0, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengambil pendekatan mesra jemaah dengan membenarkan juga semua masjid dan surau menjalankan solat Jumaat dan solat Fardhu berjemaah sejak awal tahun ini.

Menurut Aminuddin, sepanjang tempoh PKP dan PKPB di Negeri Sembilan, belum ada kluster yang dilaporkan berpunca dari masjid, surau atau rumah ibadat.

Aminuddin berkata, jemaah Negeri Sembilan merupakan contoh teladan terbaik yang mematuhi SOP dan beliau berharap pematuhan SOP ini akan diteruskan sepanjang bulan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri nanti.

“Alhamdulillah, saya dapat lihat para jemaah yang hadir patuh dan berdisiplin mengikut SOP yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Peluang telah dibuka untuk para jemaah menunaikan ibadah ini. Saya berharap agar setiap muslimin mengambil peluang untuk menunaikannya,” ujar Aminuddin.

Sepanjang Ramadhan masjid beroperasi dari 4 pagi hingga 12 malam

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, sepanjang bulan Ramadhan, waktu operasi masjid dan surau dibenarkan bermula pada pukul 4.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah malam.

“Imam digalakkan membaca surah yang pendek (solat Tarawih). Tazkirah sebelum, selepas atau antara waktu solat Tarawih tidak dibenarkan.

“Untuk penyediaan sahur, berbuka puasa dan moreh, aktiviti memasak di masjid dan surau tidak dibenarkan.

“Sumbangan makanan hendaklah disediakan secara bungkusan dan diedarkan oleh ahli jawatankuasa masjid atau surau dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelas Aminuddin lagi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button