Berita

Kerajaan Negeri Sembilan peruntuk RM39.6 juta baiki infrastruktur rosak akibat banjir

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM39.6 juta merangkumi 88 buah projek bagi membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir baru-baru ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, musibah banjir yang telah melanda Negeri Sembilan merupakan antara bencana terbesar pernah berlaku.

“Kenaikan paras air sungai yang mendadak dan menyebabkan limpahan ke kawasan sepanjang jajaran sungai menyebabkan kerosakan harta benda dan infrastruktur awam yang amat dahsyat sekali dan memerlukan tindakan segera dari pihak Kerajaan Negeri.

“Keutamaan Kerajaan Negeri juga adalah untuk memastikan keselamatan dan kebajikan awam terpelihara.

“Sehubungan itu, setiap agensi pelaksana telah diarahkan untuk mempercepatkan gerak kerja dan melaksanakan terlebih dahulu pembaikan sementara di mana-mana lokasi yang berkaitan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berharap, kelulusan peruntukan ini dapat memudahkan urusan rakyat di kawasan yang terjejas.

Menurut beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya (MARRIS) telah meluluskan permohonan kerja-kerja baikpulih infrastruktur seperti baikpulih jalan, cerun, jambatan dan lain-lain kerja baikpulih dengan anggaran kelulusan seperti berikut:

a) Baikpulih jambatan: RM9.7 juta (24 projek)

b) Baikpulih jalan:RM2.9 juta (24 projek)

c) Baikpulih cerun:RM25.2 juta (27 projek)

d) Lain-lain kerja baikpulih yang berkaitan seperti longkang/pembentung: RM1.7 juta (13 projek)

Show More

Related Articles

Back to top button