Berita

PIALA MB: One Team FC dan Intan Perdana FC wakil DUN Bagan Pinang

BAGAN PINANG: One Team FC dan Intan Perdana FC akan mewakili DUN Bagan Pinang ke Kejohanan Bolasepak Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Peringkat Parlimen Port Dickson.

One Team FC muncul sebagai johan peringkat DUN Bagan Pinang dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan dan pingat.

Naib johan, Intan Perdana FC memenangi hadiah RM800 dan pingat. Tempat ketiga, Young Pirates FC RM500 dan pingat; keempat, Intan Perdana Rangers RM300 dan pingat.

Menariknya kesemua lima pasukan yang bertanding menerima sumbangan jersi yang ditaja oleh MPKK masing-masing.

Pejabat Penyelaras DUN Bagan Pinang pula menyumbang piala pusingan untuk pasukan yang muncul sebagai juara.

Penyelaras DUN Bagan Pinang, Tuan Nasir Raman berkata, matlamat utama kejohanan ini diadakan adalah bagi mencungkil bakat baru di kalangan anak muda di peringkat bawahan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan One Team FC dan Intan Perdana FC yang layak ke kejohanan peringkat parlimen.

“Terima kasih kepada semua MPKK yang menaja dan mengambil berat keperluan setiap pasukan di bawah jagaan MPKK masing-masing,” kata Nasir.

Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Makanan, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir.

Pertandingan diadakan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Port Dickson yang berlangsung selama dua hari.

Show More

Related Articles

Back to top button