BeritaProgram

Piala Menteri Besar Negeri Sembilan tawar hadiah RM160,000

SEREMBAN: Kejohanan Bolasepak Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan 2021 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM160,000.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kejohanan akan bermula pada 16 Oktober dan perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 25 Disember ini.

“Kejohanan ini melibatkan penyertaan lebih 5,000 pemain dan 1,000 pegawai dari seluruh Negeri Sembilan.

“Pertandingan di peringkat DUN akan bermula 16 Oktober hingga 7 November, peringkat parlimen dari 13 November hingga 28 November dan peringkat negeri dari 11 Disember hingga 25 Disember ini.

“Kejohanan ini bukan sekadar kejohanan one-off, tetapi ada kesinambungan pembangunan bolasepak peringkat komuniti yang diberi nama ‘Tunas Harapan’.

“Program ‘Tunas Harapan’ ini akan menjadikan setiap DUN mempunyai Pusat Komuniti Bolasepak yang akan melibatkan lebih ramai anak-anak di peringkat akar umbi,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pelancaran Kejohanan Bolasepak Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan 2021 dan Majlis Meraikan Kemenangan Pasukan NSFC dalam Liga Perdana 2021 di Mydin Mall, Seremban pada lewat petang Jumaat.

Program pembangunan pemain seawal umur tujuh tahun

Menurut Aminuddin lagi, pusat latihan berpusat di setiap DUN akan melibatkan anak-anak seawal berumur tujuh hingga 17 tahun.

“Mereka ini akan menjadi ‘pool of players’ bagi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk mengetengahkan ‘Anak Negeri Sembilan’ dalam pasukan Negeri Sembilan Football Club (NSFC) pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, kesinambungan kejohanan ini dan program ‘Tunas Harapan’ adalah inisiatif beliau dan Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH).

Hobin Jang Hobin

Sementara itu, Aminuddin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PBNS di bawah pimpinan Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman ibni al-Marhum Tunku Syed Idrus selaku Presiden PBNS yang sangat komited dan berjiwa besar dalam memimpin PBNS dan menentukan halatuju NSFC sehingga menjulang Piala Liga Perdana dan membawa NSFC masuk semula ke Liga Super.

“Tahniah kepada Ketua Jurulatih, Saudara K.Devan, pemain NSFC yang diketuai Saudara Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi NSFC menjulang Piala Liga Perdana.

“Saya sentiasa mendoakan dan mengharapkan yang terbaik untuk NSFC. Kejayaan hari ini semestinya menjadi pencetus kepada kejayaan akan datang,” kata Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button