Berita

Pinjaman tanpa faedah RM3 juta kepada 202 penjawat awam, beli kenderaan dan komputer

49 pinjaman kereta, 50 motosikal dan 103 komputer diluluskan sehingga 18 November

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah meluluskan pinjaman RM3,019,311.18 tanpa faedah kepada 202 penjawat awam untuk pembelian kereta, motosikal dan komputer.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sehingga 18 November 2020;  sebanyak 99 permohonan pinjaman kenderaan telah diluluskan.

“Ini termasuk 49 pinjaman untuk pembelian kereta dan 50 pinjaman untuk pembelian motosikal dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2,551,500.

“Manakala bagi permohonan pinjaman komputer, sebanyak 103 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM467,811.38.

“Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa mengambil berat akan kebajikan penjawat awam Negeri Sembilan.

“Semoga kemudahan pemberian pinjaman untuk pembelian kenderaan dan komputer tanpa faedah ini dapat membantu mereka dalam menguruskan rutin harian,” kata Aminuddin.

Skim Pinjaman Kenderaan dan Komputer pada kadar faedah 0%

Aminuddin berkata demikian selepas menghadiri Sesi Penghargaan Daripada Penerima Skim Pinjaman Kenderaan dan Komputer Pada Kadar Faedah 0% Di Bawah Inisiatif Belanjawan Tahun 2020.

Sesi tersebut telah dianjurkan oleh Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban.

Dalam pembentangan Belanjawan Tahun 2020 yang lalu, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengumumkan Skim Pinjaman Kenderaan dan Komputer pada kadar faedah 0% kepada Penjawat-Penjawat Awam yang berkhidmat di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Turut hadir Exco-Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Khidir Majid.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button