Berita

Kemelut 40 tahun GATCO hampir selesai: Aminuddin

JEMPOL: Seramai 211 peneroka GATCO telah menerima hak milik dari Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telah menyerahkan hak milik kepada 139 peneroka pada 3 Mac 2020 (Fasa 1).

“Pada 24 Disember 2020, kita sekali lagi menyampaikan hak milik kepada 38 orang penerima bagi fasa kedua.

“Hari ini, seramai 34 peneroka menerima penerima geran hak milik dan ini bermakna permasalahan seramai 211 orang penduduk yang terlibat dengan isu GATCO telah kita selesaikan.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyampaian Hak Milik GATCO Fasa 3 di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol pada Sabtu.

Menurut Aminuddin lagi, Kerajaan Negeri telah berusaha menyelesaikan isu ini sejak awal mendapat mandat rakyat Negeri Sembilan.

“Sekarang telah tiba fasa ketiga dan Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk meneruskan ke fasa keempat.

“Hal ini kerana berdasarkan pengamatan yang dibuat oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, kebanyakan isu dalaman keluarga belum diselesaikan seperti isu meletakkan seorang wakil keluarga dalam hak milik yang hendak didaftarkan atau isu tidak menerima apa yang ditawarkan oleh pihak kerajaan.

“Oleh yang demikian, penyelesaian selepas ini adalah bukan lagi secara berfasa tetapi secara runcit atau case by case basis.

“Ini adalah bagi memberi peluang kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jempol bagi menyelesaikan isu hak milik di lokasi yang lain pula,” jelas Aminuddin.

Turut hadir, Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong; Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam dan Timbalan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ M.Ravi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button