Berita

PKPB di Mukim Jimah, Port Dickson berkuatkuasa tengah malam ini

Hanya dua orang dibenarkan keluar dari rumah dengan sebuah kenderaan yang sama pada satu-satu masa

SEREMBAN: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasa di Mukim Jimah, Port Dickson bermula 7 November 2020 (Sabtu) jam 12.01 tengah malam sehingga 20 November 2020 (Jumaat) jam 11.59 malam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri Sembilan mengambil maklum dan perhatian kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai penguatkuasaan PKPB di Mukim Jimah, Port Dickson; berikutan pola peningkatan kes khususnya di sebahagian Mukim Jimah dan lokasi yang bersempadan dengan Daerah Sepang, Selangor.

“Walaupun mukim ini belum menjadi zon merah, tetapi diisytiharkan sebagai kawasan PKPB setelah penilaian risiko dibuat oleh Jabatan Kesihatan apabila sesuatu kawasan mencatatkan antara 10 hingga 20 kes Covid-19.

“Penilaian risiko ini dijalankan dengan melihat beberapa petunjuk seperti kadar jangkitan, logistik dan keupayaan KKM.

“Selaras dengan pengumuman ini, setelah mendapat nasihat daripada agensi negeri seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pengesahan seperti berikut:

A. PKPB di Mukim Jimah melibatkan kawasan seluas 7,390 hektar merangkumi lokasi berikut

i. Tanah Merah Site C
ii. Seluruh Bandar Springhill
iii. Taman Bayu Indera
iv. Kawasan Perindustrian Bukit Palong
v. Taman Lukut Makmur
vi. Kampung Sungai Sendayan
vii. Taman Vista Jaya

B. PDRM akan melaksanakan kawalan pergerakan seperti aliran keluar dan masuk Mukim Jimah, sekatan jalan raya, rondaan, mengeluarkan surat kebenaran pergerakan bagi kes-kes kecemasan dan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

C. Pergerakan keluar masuk Mukim Jimah adalah tidak dibenarkan. Sebarang permohonan keluar masuk hanya akan diberikan kepada pekerja yang mempunyai pas pekerja dengan pematuhan SOP yang ketat.

D. Hanya dua (2) orang sahaja dibenarkan keluar dari rumah dengan sebuah kenderaan yang sama pada satu-satu masa untuk mendapatkan bekalan makanan dan atau aktiviti-aktiviti lain.

E. Sektor perkhidmatan awam Kerajaan Negeri beroperasi seperti biasa.

F. Aktiviti bagi perkhidmatan perlu (essential services) seperti sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan, aktiviti ekonomi dan rantaiannya dibenarkan beroperasi. Aktiviti perniagaan di kawasan PKPB ini hanya terhad kepada beberapa waktu yang ditetapkan iaitu:

i. Restoran 24 jam, kedai atau gerai makan, kedai runcit, kedai serbaneka termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi antara jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam sahaja.

ii. Pembelian makanan atau barangan digalakkan secara penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan seperti GrabFood, FoodPanda dan seumpamanya yang beroperasi bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

iii. Dine in di premis makanan dibenarkan terhad maksimum empat (4) orang satu meja dengan penjarakan fizikal satu (1) meter dan mematuhi SOP Sektor Makanan. Pembelian secara take away adalah digalakkan.

iv. Waktu operasi pengepaman di stesen minyak adalah antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam sahaja.

v. Waktu operasi pusat beli belah, pasar raya dan supermarket adalah antara 8.00 pagi hingga 10.00 malam sahaja.

vi. Waktu operasi pasar harian dan pasar tani adalah antara 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.

vii. Waktu operasi pasar malam pula adalah antara jam 4.00 petang hingga 10.00 malam sahaja.

viii. Operasi perniagaan lain yang tidak disenaraikan seperti di atas adalah antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

ix. Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing dibenarkan beroperasi seperti biasa. Hanya dua orang penumpang dibenarkan bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing dengan waktu operasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam sepanjang tempoh PKPB.

Sekolah ditutup, tiada majlis rasmi, kenduri dan perkahwinan

Aminuddin berkata, semua premis sosial dan pendidikan termasuk Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah-sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah pondok dalam kawasan PKPB hendaklah ditutup. Pelajar yang bersekolah atau belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di luar kawasan PKPB tidak dibenarkan keluar atau masuk.

Majlis Rasmi dan Tidak Rasmi sama ada oleh pihak Kerajaan dan Swasta, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis pertunangan dan perkahwinan (tidak termasuk urusan pernikahan), majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun atau hari kelahiran, reunion dan majlis-majlis sosial yang lain adalah tidak dibenarkan.

“Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan. Masjid dan surau hanya dibenarkan untuk mengumandangkan azan dan mendirikan solat lima (5) waktu sahaja. Solat Jumaat dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat dan diwajibkan untuk membawa sejadah sendiri setiap kali ke masjid/surau.

Aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan dibenarkan

“Rumah ibadat bukan Islam hanya dibenarkan untuk aktiviti sembahyang sahaja. Tidak dibenarkan sebarang sambutan / majlis perayaan / perkahwinan/ pernikahan dibenarkan di semua rumah ibadat bukan Islam.

“Aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan seperti berjalan, joging, berbasikal, senam robik, hiking, memancing dan golf yang dilakukan di kawasan terbuka adalah dibenarkan. Semua aktiviti sukan perlu menjaga penjarakan fizikal serta mengikut kapasiti yang dibenarkan oleh MKN.

“MKN Negeri Sembilan akan mengeluarkan SOP terperinci berkaitan PKPB Daerah Seremban yang telah dikemas kini dan SOP Mukim Jimah dalam masa terdekat setelah syor dan cadangan mendapat persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujar Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button