Berita

Aminuddin lancar portal bantuan rakyat n9.digital

Boleh mohon bantuan secara atas talian (online)

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah melancarkan sebuah portal https://www.n9.digital untuk mempermudahkan urusan rakyat dalam memohon bantuan dan insentif daripada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, jika sebelum ini pemohon perlu mencari borang, mengisi dan menghantar borang permohonan bersama dokumen sokongan secara manual dan serahan tangan; kini melalui portal ini pemohon boleh menggunakan telefon pintar atau komputer untuk memohon mana-mana bantuan dan insentif yang disediakan.

“Kita akan mulakan dengan Permohonan Bantuan Kewangan ke Institut Pengajian Tinggi dan para pelajar boleh memohon bantuan kewangan ke IPT ini dengan menggunakan telefon pintar atau komputer.

“Insyah Allah skim bantuan dan inisiatif lain akan dikemaskini dan ditambah dalam masa terdekat.

“Aplikasi ini juga berfungsi sebagai platform E-Gerai di mana rakyat Negeri Sembilan boleh mempromosi, menjaja dan mencari pendapatan sampingan dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, antara masalah utama penjaja dan pelanggan ialah tiada platform yang sesuai dan percuma untuk meluaskan peluang perniagaan.

“Ini adalah bukti Kerajaan Negeri komited dalam membantu rakyat untuk mencari pendapatan,” ujarnya.

Cabutan Bertuah

Bersempena dengan pelancaran portal dan aplikasi n9.digital ini, Kerajaan Negeri menawarkan 100 hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.

Dengan hanya perlu mendaftar, mengisi maklumat peribadi dan memilih Skim Cabutan Bertuah, peserta mempunyai peluang untuk memenangi hadiah tersebut.

Sesi Cabutan Bertuah ini akan dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 31 Disember 2020. Syarat dan makluman lanjut akan diumumkan dalam aplikasi ini.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button