Berita

PPV Bergerak pertama di Negeri Sembilan sasar pemberian vaksin di kawasan pedalaman

NEGERI SEMBILAN: Pusat Pemberian Vaksin(PPV) Bergerak Kuala Pilah merupakan PPV Bergerak yang pertama di Negeri Sembilan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), mensasarkan pemberian vaksin kepada orang ramai di kawasan pedalaman di daerah Kuala Pilah.

Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, fungsi utama PPV Bergerak itu adalah bagi memudahkan penduduk yang menetap di kawasan pedalaman seperti di Felda Kepis, Perkampungan Orang Asli dan kampung tradisi untuk menerima vaksin.

“Kesukaran dari segi kemudahan pengangkutan dan akses jalan raya, menyebabkan penduduk kawasan pedalaman tidak dapat keluar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menyenaraikan nama penduduk di kawasan yang terlibat dan seterusnya menghubungi penerima vaksin bagi mendapatkan suntikan vaksin bagi dos pertama sebelum menerima vaksin dos kedua selepas 21 hari.

“Objektif utama PPV Bergerak diwujudkan adalah untuk membantu rakyat bagi mendapatkan suntikan dan merupakan salah satu cara untuk mengelakkan aktiviti pengumpulan orang ramai semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” jelas Veerapan.

Veerapan berharap, inisiatif ini akan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada semua rakyat Negeri Sembilan dan sekaligus imuniti kelompok dapat dibentuk dengan lebih cepat.

“Bagi membentuk imuniti kelompok, sebanyak 80 peratus rakyat perlu divaksin.

“Sila daftar segera bagi yang belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Bersama-sama kita berganding bahu membentuk imuniti kelompok,” ujar Veerapan yang juga ADUN Repah.

Menurut Veerapan, PPV Bergerak ini hasil usahasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dan Pejabat Pergigian Daerah Kuala Pilah yang mengubahsuai Treler Bergerak Pergigian kepada PPV Bergerak.

“PPV Bergerak ini boleh memberikan vaksin kepada 200 orang penduduk sehari dan dijadualkan berada di Felda Kepis selama lima hari untuk memberikan suntikan vaksin kepada 1,000 penduduk Felda Kepis.

“Destinasi PPV Bergerak ini seterusnya di Padang Lebar dan Seri Menanti,” kata Veerapan.

 

Foto: Facebook YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button