BeritaMenarikProgram

Negeri Sembilan peruntuk RM22.75 juta untuk sektor pertanian

SEREMBAN: Exco (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM22.75 juta dalam Belanjawan 2024 untuk sektor pertanian (Teras 6).

“Alhamdulillah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan telah membentangkan satu belanjawan berjumlah RM555 juta untuk rakyat Negeri Sembilan.

“Ini merupakan belanjawan pertama untuk Kerajaan Perpaduan hasil daripada mandat dan impian rakyat bagi melihat sebuah penguasa negeri yang stabil dan makmur.

“Peningkatan sebanyak 7.69 peratus untuk anggaran perbelanjaan pembangunan mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan mahu membina arah menjadi sebuah negeri ‘2nd Klang Valley In The Making’.

“Namun, Kerajaan Negeri Sembilan tidak meminggirkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya yang juga ADUN Pertang.

Jalaluddin berkata, beliau ingin mengucapkan terima kasih di atas komitmen YAB Menteri Besar kerana memperuntukkan RM5.25 juta khusus untuk agenda peningkatan hasil sayuran, buah-buahan, tanaman ladang dan industri asas tani.

“Agenda peningkatan kualiti dan pengembangan veterinar serta pengeluaran ternakan dan genetik ternakan juga tidak dikesampingkan dan sejumlah RM4.43 juta diperuntukkan untuk tujuan ini.

“Sejumlah RM2.50 juta diperuntukkan untuk transformasi kaedah pertanian.

“Selain itu bagi mengurus isu kos sara hidup rakyat, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM3 juta untuk Program Jualan Agro Madani dan RM7.57 juta untuk pelbagai keperluan pembangunan sektor pertanian,” jelas beliau lagi.

Justeru itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, mengajak semua rakyat Negeri Sembilan untuk sama-sama memberi sokongan kepada Belanjawan 2024 bagi membina sebuah Negeri MADANI.

 

Show More

Related Articles

Back to top button