Kolumnis

Program Jelajah Presiden Siri Pertama di Negeri Sembilan 

EDY NOOR REDUAN: Dalam usaha memperkukuhkan gerakan parti dan sebagai persediaan menempuhi PRU15 yang dijangka mungkin berlaku, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) selaku Presiden KeAdilan telah mengaktifkan siri Jelajah Presiden ke seluruh negara bermula hari ini.

Negeri Sembilan telah dipilih menjadi negeri pertama yang melaksanakan Program Jelajah Presiden yang berlangsung di Alson Klana Resort, Seremban.

Pihak Negeri Sembilan Update (NSU) yang turut dijemput sebagai wakil NGO, mengucapkan syabas kepada pihak Majlis Pimpinan Negeri Negeri Sembilan kerana berjaya menganjurkan program dengan sangat baik dan lancar walaupun NSU dimaklumkan program disusun dengan notis yang singkat.

Sekitar jam 3 petang, jemputan telah memenuhi dewan yang kerusinya disusun dengan penjarakkan sosial bersempena SOP PKPP. Turut hadir menyampaikan taklimat penerangan, situasi politik semasa dan kedudukkan parti antaranya ialah Pengarah Strategik YB Sim Tze Tzim, Pengarah Komunikasi YB Fahmi Fadhil dan YB Saifuddin Nasution selaku Setiausaha Agong parti.

Exco-Exco Kerajaan Negeri, Adun-Adun, Penyelaras Dun, Wakil Cabang dan wakil pemerhati dari Pakatan Harapan adalah antara pimpinan yang dijemput bagi mendengar taklimat yang diberikan.

NSU mengamati setiap pengisian yang disampaikan oleh panel jemputan, dilihat mampu menyemai imput yang penting untuk dijadikan kaedah dan mekanisma memperkuatkan lagi jentera parti. Tinjauan NSU mengenai perkembangan politik semasa tidak menolak kemungkinan PRU15 akan berlaku bila-bila masa. Justeru itu, penganjuran Program Jelajah Presiden ini adalah suatu persediaan yang bertepatan.

Giliran Dato’ Seri Aminuddin Harun menyampaikan syarahan bermula sekitar jam 5.30 petang. Dato’ Seri MB tidak mengambil masa yang lama kerana ingin memberi laluan kepada DSAI menggulung ucapan dasar.

Dato’ Seri MB sempat menyatakan bahawa inilah masa yang terbaik untuk kita memulakan gerak-kerja pilihanraya, dengan segala jentera dan kekuatan sedia ada, dengan mencerakinkan segala maklumat positif selaku Kerajaan Negeri yang bekerja untuk rakyat,

Ucapan DSAI pula merangkumi gesaan supaya anggota pimpinan kembali kepada landasan perjuangan dan pastikan tiada rakyat yang tercicir dari arus pembangunan. Menurut DSAI, kita semua harus fokus kepada permasalahan rakyat semua kaum, sambil memohon agar diperhebatkan penambahan ahli dan kemudian terapkan prinsip perjuangan asal parti..

“Mana ada perjuangan yang tiada pengkhianatan, maka hendaklah kita lulus segala ujian yang melingkar di hadapan kita. Bicara kita harus menyuarakan denyut nadi mereka (rakyat)”

Begitulah antara pengisian ucapan DSAI Program Jelajah Presiden siri yang pertama ini disudahi dengan sesi soal jawab dari kalangan para hadirin.

Adalah menjadi harapan NSU supaya program yang cukup berharga ini meninggalkan kesan anjakkan paradigma kepada seluruh jentera parti KeAdilan Negeri Sembilan demi memastikan sokongan rakyat akan tetap padu kepada kepimpinan dan pentadbiran Dato’ Seri Aminuddin Harun di Negeri Sembilan dan juga kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama tanahair.

Edy Noor Reduan adalah Pengarah Media Negeri Sembilan Update (NSU).

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button