Berita

Program ‘Outreach’ Vaksinasi Covid-19 sasar golongan warga emas dan OKU

TAMPIN: Program ‘Outreach’ Vaksinasi Covid-19 di Daerah Tampin akan bermula hari ini (3 Ogos) di sembilan tanah rancangan Felda.

Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, program ini mensasarkan golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya yang tiada akses kepada aplikasi MySejahtera dan mereka yang telah lama berdaftar melalui MySejahtera tetapi masih menunggu untuk dapatkan temujanji vaksinasi.

“Selain itu program ini juga mensasarkan golongan emas yang terlepas temujanji vaksinasi kerana masalah pengangkutan dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Pejabat Kesihatan Daerah Tampin mensasarkan seramai 4,700 penduduk Tampin bakal menerima suntikan vaksin menerusi program ini.

“Felda Bukit Rokan adalah titik permulaan program ini pada hari ini dan diikuti Felda Bukit Rokan Utara,” ujar Veerapan.

Veerapan yang juga ADUN Repah berkata, kelulusan diberikan oleh CITF Pusat untuk memperbanyakkan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 terutama di kawasan luar bandar.

“Program Outreach Vaksinasi ini akan membantu mempercepatkan vaksinasi di kawasan luar bandar dan membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Sementara itu Veerapan berkata, bagi penduduk DUN Repah yang masih belum dapat temujanji vaksinasi; diminta hubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN Repah di talian 06-441 5052 untuk perkhidmatan bantuan pendaftaran vaksinasi.

Show More

Related Articles

Back to top button