Berita

Projek naik taraf Surau Taman Dusun Nyior dijangka siap hujung November

YTM Undang Luak Sungai Ujong akan dijemput untuk merasmikan Surau Al Fatihin sebagai surau Solat Jumaat

AMPANGAN: ADUN Ampangan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih bangunan Surau Al Fatihin, Taman Dusun Nyior telah bermula dan di jangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan Novermber ini.

Rafie berkata, seawal tahun 2008, iaitu 10 tahun sebelum perubahan Kerajaan Negeri Sembilan; pada 9 Mei 2018, ahli-ahli kariah Surau Al-Fatihin telah memaklumkan hasrat mereka kepada saya untuk mereka mendirikan Solat Jumaat di surau ini.

Mereka telah berusaha sejak sekian lama sebelum itu untuk membuat permohonan tetapi malangnya tidak berjaya.

Asas permohonan mereka ialah kerana kedudukan taman mereka berada agak berjauhan dari masjid-masjid berdekatan samada Masjid Sungai Landak, Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Masjid Negeri atau mahupun Masjid Rahang.

Keperluan untuk menjadikan Surau Al Fatihin sebagai Surau Solat Jumaat amat wajar, apatah lagi majoriti penduduk warga Taman Dusun Nyior adalah warga emas. Mereka benar-benar agak sukar untuk pergi ke masjid-masjid berdekatan.

Pada hari ini, ada di antara mereka telah menjadi arwah tetapi keperluan untuk mempermudahkan penduduk mendirikan Solat Jumaat di dalam taman mereka tetap ada.

“Justeru keazaman saya setelah diamanahkan selaku ADUN Ampangan adalah untuk memenuhi hasrat penduduk ini.

“Sebaik sahaja memikul amanah selaku ADUN Ampangan pada 9 Mei 2018, saya telah berusaha untuk membantu mereka mendapatkan kebenaran untuk menjadikan Surau Al Fatihin sebagai surau Solat Jumaat.

“Alhamdulillah, baru-baru ini kebenaran menerusi YTM Undang Luak Sungai Ujong, Dato Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan telah diperolehi.

“Insya Allah, YTM Undang Luak Sungai Ujong akan dijemput untuk merasmikan Surau Al Fatihin sebagai surau Solat Jumaat sebaik sahaja bangunan surau ini siap sepenuhnya,” jelas Rafie selepas mengadakan lawatan ke surau tersebut.

Rafie yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan berkata, untuk memastikan projek pembangunan ini berjalan lancar, program lawatan ini akan memberi maklumat terus tentang sebarang permasalahan yang mungkin ada dan untuk memastikan kerja-kerja naiktaraf ini dapat disiapkan mengikut jadual yang dirancang.

Show More

Related Articles

Back to top button